Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu penubuhan suruhanjaya khusus untuk pekerja ekonomi gig dapat dipercepatkan bagi membela nasib dan kebajikan pekerja sektor itu.

Sehingga kini, sektor itu tidak diwakili oleh persatuan yang khusus menjaga kepentingan pekerja-pekerja Gig di dalam negara.

“Dalam kerajaan kalau dia perihatin dia kena fikir penjawat awam…(kerajaan) ada KPPA (Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam), KSN (Ketua Setiausaha Negara) dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

“Namun, ada juga pihak yang tidak diwakili secara langsung dan sebab itu Suruhanjaya Pekerja Gig itu perlu dan kita minta disegerakan supaya diberikan perhatian yang lebih,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian dalam amanat Sambutan Hari Pekerja 2024 bertemakan Pekerja Kesuma Bangsa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Sebelum ini, Anwar pada Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) baru-baru ini berkata Suruhanjaya Pekerja Gig akan ditubuhkan bagi melindungi hak pekerja ekonomi GIG yang bilangannya kini sudah mencecah 1.12 juta rakyat, terutama dalam kalangan anak-anak muda.

Katanya, keutamaan suruhanjaya itu adalah memberikan keperluan sosial, pertikaian kontrak dan kemajuan kerjaya membabitkan pekerja ekonomi gig itu yang semakin rancak di negara ini.

Dalam pada itu Menteri Sumber Manusia Steven Sim ketika ditemui pemberita di majlis sama menjelaskan, pihaknya sedang mempercepatkan laporan tentang penubuhan Suruhanjaya Gig itu seperti disarankan Anwar.

“Kita (Kesuma) sedang terlibat dalam kajian dengan kerjasama Universiti Malaya (UM) dan laporan interim tentang penubuhan Suruhanjaya Gig tu dijangka dibentang kepada Kabinet menjelang 1 Jun ini.

“Kemudian, dalam tempoh dua atau tiga bulan selepas itu kementerian akan membentangkan laporan penuh tentang fungsi, perundangan, keahlian, implikasi kewangan, bidang kuasa dan sebagainya,” katanya.-MalaysiaGazette