HULU SELANGOR – Kelewatan kerja-kerja menaiktaraf Pasar Awam Kuala Kubu Bharu lebih empat tahun lalu menyulitkan para peniaga hingga memaksa mereka berniaga di tepi jalan untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut berkata, perkara itu perlu dipandang serius pihak berkuasa tempatan (PBT), apatah lagi Pakatan Harapan (PH) yang menjadi kerajaan negeri sejak lima penggal lalu.
“Saya berharap pihak berwajib melihat secara serius supaya peniaga-peniaga di kawasan ini dapat tempat sempurna bagi untuk menjalankan perniagaan sena itu punca pendapatan bagi mereka.
“Kita lihat peniaga berniaga di tepi jalan, tepi lorong sekitar pasar awam sedangkan bangunan ini cantik, malangnya masih tidak dapat digunakan,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau melakukan walkabout untuk menyantuni peniaga dan orang ramai di pasar pagi Kuala Kubu Bharu, hari ini.
Khairul Azhari turut melahirkan rasa hairan dengan kelewatan itu dan setakat ini pihak berkuasa masih tidak memberi sebarang jawapan mengenai projek yang melibatkan kepentingan awam itu.
“Rata-rata peniaga yang saya temui menyatakan kegusaran berkenaan pasar ini masih belum dapat digunakan sepenuhnya.
“Kita pun tak tahu apa kaedah dan caranya untuk memastikan pasar awam ini digunakan sebab dia lewat.
“Saya mewaliki suara peniaga di sini berharap pihak berkuasa dapat memastikan tempat mereka untuk berniaga dapat diselesaikan dengan segera,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di kerusi N.06 Kuala Kubu Bharu kini memasuki hari kelima, beliau teruja apabila ramai pengundi yang ditemui memberi kata-kata semangat.
“Alhamdulillah walaupun penat kita turun ke lapangan dengan maklum balas daripada pengundi yang kita temui, memberi kata-kata semangat dan mendoakan agar sentiasa sihat, kuat dan terus bekerja,” katanya lagi. – MalaysiaGazette