KUALA LUMPUR – Kegiatan parkir haram yang dikesan beroperasi di sembilan lokasi sekitar ibu negara dikesan menerusi Op Parkir Haram pada 24 April lalu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, seramai 11 individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan kutipan parkir haram itu diberkas untuk siasatan tindakan lanjut.
Sembilan lokasi yang diserbu pasukan adalah Jalan Beremi, Jalan Sultan Ismail, Jalan Tengah Changkat Bukit Bintang, Persiaran Dutamas G3 Street, Jalan Berangan, Jalan Walter Granier, Jalan Mesui, Jalan Doraisamy dan Jalan Kamunting.
“Operasi itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota JSPT Kuala Lumpur bermula 9 malam pada Rabu lalu. Hasil serbuan daripada operasi itu, kami berjaya membuat tangkapan ke atas 11 individu berusia antara 19 hingga 60 tahun dengan lima daripadanya terdiri daripada warga India dan Bangladesh,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Sarifudin, dua tangkapan ke atas warga tempatan juga mendapati mereka memiliki dua rekod jenayah lampau bersabit kes dadah serta orang dikehendaki (wanted).
Siasatan awal polis mendapati suspek terbabit melakukan kesalahan mengutip bayaran parkir kenderaan secara haram.
“Malah ada di antara suspek juga dikesan merampas wang tunai yang diambil daripada pemandu secara paksaan. Suspek-suspek ini difahamkan mengenakan caj antara RM10 hingga RM20 untuk setiap kenderaan yang diparkir.
“Ada antara suspek dikesan aktif melakukan kegiatan ini sejak satu hingga dua bulan yang lalu,” katanya.
Polis masih menjalankan siasatan kes terbabit tindakan akan diambil di bawah Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mendesak mana-mana orang lain yang berkenaan dengan penjagaan kenderaan. – MalaysiaGazette