Menteri Kesihatan, Datuk Seri DR. Dzulkefly hadir pada sidang media di dewan orang ramai, Kampung Orang Asli, di Kuala Kubu Bharu, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 2 MEI 2024.

HULU SELANGOR – Penambahbaikan perkhidmatan kesihatan di Hospital Kuala Kubu Bharu sebenarnya sudah pun bermula dengan menempatkan pakar perubatan dalaman di fasiliti perubatan sejak Januari lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata, bagi merancakkan jumlah pelawat ke hospital itu, pihaknya akan menempatkan pakar perubatan kecemasan bermula Mei ini.

“Kalau tiada dua pakar ini, orang ramai akan pergi ke Hospital Selayang dan Hospital Kuala Lumpur, ia akan menyebabkan kesesakan.

“Apabila kita mengambil langkah termasuk menempatkan pakar di sini, kesesakan di kedua-dua hospital ini sudah berkurangan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pada 26 April lalu, media melaporkan Hospital Kuala Kubu Bharu dan Klinik kesihatan sekitar Hulu Selangor akan ditingkatkan perkhidmatannya dan menambah bilangan doktor pakar.

Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil maklum keluhan penduduk termasuk berhubung ketiadaan pakar di Jabatan Kecemasan hospital itu sehingga pesakit terpaksa dirujuk ke Hospital Selayang terutama bagi kes-kes kemalangan.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata, sejak pakar perubatan dalaman itu ditempatkan sepenuh masa di Hospital Kuala Kubu Bharu, jumlah pelawat bertambah sehingga 20 peratus.

“Jumlah penggunaan katil di Hospital Kuala Kubu Bharu kini melepasi tahap pra-Covid-19. Ini kerana kita sudah ada pakar perubatan dalaman yang mula ditempatkan di Hospital Kuala Kubu Bharu sejak Januari lalu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette