LONDON – Staf perubatan dan kejurulatihan Chelsea perlu mencari sebab kenapa kelab itu terlalu teruk dilanda kecederaan apabila sekurang-kurangnya 14 pemain tidak boleh diturunkan bagi kunjungan Tottenham awal pagi esok.
Pengurusnya, Mauricio Pochettino berkata, pemain pertahanan Thiago Silva dan Axel Disasi kini muncul dalam senarai kecederaan baharu selepas mereka seri 2-2 dengan Aston Villa Sabtu lalu.
Ini memaksa dia menamakan lima graduan akademi berusia 20 tahun dan ke bawah di bangku simpanan.
“Terlalu banyak kecederaan dan sukar untuk menjelaskan dalam satu perkataan atau satu ayat. Kami bekerja keras untuk cuba memperbaiki pasukan.
“Namun mami mempunyai kakitaangan yang mengagumkan sama ada perubatan dan kejurulatihan dan mereka mempunyai pengalaman dalam mengurus kelab,” kata Pochettino menjelang pertembungan Chelsea dengan bekas kelabnya yang menghuni tangga kelima liga.
Kempen The Blues terjejas dengan masalah pemain tidak dapat diturunkan termasuk beberapa pemain yang dibeli dengan harga mahal sebagai sebahagian daripada perbelanjaan besar £1 bilion (RM5.97 bilion) dalam tempoh dua tahun terakhir.
Paling ketara ketiadaan Wesley Fofana, yang tidak beraksi sepanjang musim selepas menjalani pembedahan susulan kecederaan ACL dan penyerang Christopher Nkunku, yang hanya tampil dalam tujuh perlawanan Liga Perdana Inggeris.
Romeo Lavia hanya beraksi sekali buat kelab itu manakala Reece James dan Ben Chilwell turut berehat panjang buat kelab yang menghuni kedudukan pertengahan liga.
Minggu lalu disahkan Enzo Fernandez, yang diikat dengan rekod Britain ketika itu £105 juta (RM627 juta) pada Januari 2023, tidak akan beraksi lagi musim ini susulan pembedahan hernia. – Agensi