KUALA LUMPUR – Polis sedang giat mengesan seorang lelaki yang didakwa menawarkan khidmat menguruskan batuan kerajaan kepada warga emas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, pihaknya sedang mencari Lau Kah Win, berusia 28 tahun dengan alamat terakhir di blok A, Damansara Suria, Taman Kip, 52000, Kuala Lumpur.

Tambah beliau, polis telah menerima laporan daripada pengadu yang juga pesara berusia 78 tahun pada 17 April lalu.

“Hasil siasatan awal mendapati, suspek telah mengambil mangsa di rumahnya SS 2/6, Seapark dan membawa pengadu ke sebuah bank dengan menaiki sebuah kenderaan milik suspek jenis Lamborghini berwarna hijau.

“Bagaimanapun, no plat kenderaan tidak dapat dipastikan. Suspek telah meminta mangsa untuk mengeluarkan wang simpanan sebanyak RM25,000 dan menyerahkan wang tunai tersebut kepada suspek.

“Kemudian suspek membawa mangsa ke sebuah bank di kawasan Kepong lalu meninggalkannya di situ atas alasan untuk mendapatkan wang bantuan kerajaan namun lelaki terbabit telah menghilangkan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Shahrulnizam, modus operandi suspek adalah menawarkan pelaburan kerajaan negeri dan membuatkan mangsa berminat untuk mengeluarkan wang simpanan bagi pelaburan tidak wujud.

Semakan lanjut mendapati, suspek mempunyai 31 rekod jenayah lampau dan telah melakukan kegiatan tersebut sejak 2014 hingga kini.

Shahrulnizam meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menyalurkannya kepada pegawai penyiasat, Inspektor S. Gashwinpal Singh di talian 016-3649168.

Beliau juga menasihati dan menyeru masyarakat supaya lebih peka serta tidak terpedaya dengan sebarang penawaran atau tipu daya dengan kata-kata manis yang boleh merugikan, sekaligus menjadi mangsa penipuan. – MalaysiaGazette