SUBANG – Kemunculan pusat-pusat penyelenggaraan dan baik pulih jet peribadi bukan sahaja menjadikan Malaysia destinasi alternatif malah membuka peluang persaingan sihat di rantau Asia dalam industri penerbangan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kemunculan pusat menyelenggara jet peribadi seperti Execujet MRO Services di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah dilihat membantu perkembangan ekosistem industri penerbangan dalam negara.
“Perkhidmatan seperti ini sangat penting untuk ekosistem aeroangkasa sebab ia memainkan peranan penting seperti yang saya kata Asia Pasifik merupakan rantau yang berkembang pesat industri ini.
“Aeroangkasa ini bukan setakat syarikat penerbangan tetapi ada ekosistem yang besar,” katanya ketika sidang media selepas majlis perasmian di sini hari ini.
Anthony berkata, jika sebelum ini kebanyakan jet peribadi diselenggara di luar negara kini kepercayaan pemilik untuk melakukannya di negara ini lebih tinggi dengan adanya pusat seperti Execujet MRO Services.
“Ini untuk satu golongan eksekutif yang mempunyai kemampuan kewangan dan sebagainya bidang spesifik yang kita boleh terokai jadi kalau ada fasiliti seperti MRO ini kita boleh menarik pemilik jet yang sebelum ini hantar jet mereka untuk diselenggara di negara luar kini di negara kita sahaja,” tambahnya.
Sebagai rekod, Execujet MRO Services yang dilancarkan hari ini merupakan milik penuh anak syarikat Dassault Aviation.
Berkeluasan 149,500 kaki persegi menjadikan ia sebagai pusat penyelenggaraan dan baik pulih jet peribadi itu yang terbesar di negara ini.- MalaysiaGazette