KUALA LUMPUR – Masih ramai tidak mengetahui kewujudan portal Semakmule yang disediakan untuk membendung jenayah komersial penipuan dalam talian di negara ini.
Melalui portal ini, orang ramai boleh membuat semakan akaun bank yang terlibat dalam aktiviti penipuan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sehingga kini portal yang dibangunkan oleh jabatan tersebut telah menyenaraikan 198,125 akaun bank milik individu dan 315 akaun bank syarikat.
“Ramai lagi yang tidak tahu portal Semakmule, kalau saya pergi ke mana-mana atau ceramah dan sebagainya barulah orang tahu,” katanya ketika sidang media di sini hari ini.
Jelasnya, penyenaraian akaun bank dan syarikat dalam portal tersebut membolehkan 97,986 tangkapan dilakukan, yang mana sebahagiannya telah dituduh di mahkamah.
Sehubungan itu, Ramli menyarankan supaya orang ramai memanfaatkan kemudahan portal tersebut supaya pencegahan jenayah komersial di negara ini dapat ditangani dengan berkesan.
Portal Semakmule dibangunkan sejak tahun 2018 susulan peningkatan penipuan dalam talian. – MalaysiaGazette