Anwar ketika ditemui pemberita selepas mengadakan perjumpaan bersama hampir 100 Pimpinan Masyarakat Permatang Pauh di hotel The Light, Pulau Pinang hari ini.

SEBERANG JAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan media antarabangsa tidak beretika dalam melaporkan berita susulan memetik sumber tidak diketahui kononya kerajaan akan mengurangkan subsidi bahan api bulan depan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, wujud perbincangan awal membabitkan perkara itu bersama jemaah menteri namun tiada sebarang keputusan muktamad diambil.

Jelas beliau, sekiranya kerajaan telah melakukan keputusan dalam isu subsidi bahan api semestinya pengumuman serta notis mengenainya akan dikeluarkan.

“Saya dapati kebelakangan ini mungkin pendirian kita dalam isu-isu politik tegas maka ada media (termasuk media) antarabangsa yang terus menyerang (kerajaan) dari segi berita-berita negatif, umpamanya kasino. Sedangkan ia tidak pernah dibincangkan serta disampaikan kepada saya, namun dijadikan isu panas.

“Kemudian, isu penarikan subsidi pula, walaupun ada perbincangan awal tetapi tidak ada keputusan muktamad tarikh pelaksanaannya, kerana kaedah itu harus diterangkan supaya tidak membebankan rakyat.

“Kena rujuk dasar dan mana boleh (sekadar) sumber. Kalau kerajaan nak umum, kita bagi tahu dengan bagi notis, bukan nak rahsia,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Anwar yang juga Presiden PKR mengadakan perjumpaan bersama hampir 100 Pimpinan Masyarakat Permatang Pauh di hotel The Light di sini.

Tambah Anwar, beliau menerima prinsip kebebasan media namun penulisan yang dibuat perlu beretika serta berlandaskan fakta yang tepat.

“Dalam hal ini (pengurangan subsidi bahan api) jemaah menteri belum membuat sebarang keputusan muktamad. Jadi bagaimana (media antarabangsa) pastikan sekian (berita) yang tidak sihat.

“Prinsipnya apa saja penyasaran subsidi bagi saya (tegaskan) tidak akan membebankan rakyat. Jadi bila media antarabangsa ini mempermainkan atau memanfaatkan (sesuatu) isu perlu tengok fakta.

Kelmarin, media asing melaporkan Malaysia akan mengurangkan subsidi bahan api menjelang Jun, satu pembaharuan ekonomi utama yang akan menguji sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan yang diterajui Pakatan Harapan ketika rakyat bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi.

Media terbabit, memetik sumber rasmi dan industri berkata, harga diesel akan diapung pada kadar pasaran dalam tempoh beberapa minggu selepas Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini dan ia akan disusuli dengan kenaikan berperingkat petrol dalam kadar runcit. – MalaysiaGazette