Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA – Kerajaan akan mencadangkan agar ketua pengarah dan jabatan memilih kampung asal masing-masing sebagai kampung angkat dalam usaha menyelami masalah rakyat lebih mendalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kaedah itu dilihat berkesan dalam mendapat input permasalahan di kawasan asal mereka sendiri menerusi maklumat yang dikumpulkan hasil daripada perjumpaan tidak formal.

“Saya cuba fikir kita belanja RM22 bilion lebih tolong orang miskin melalui segala jabatan dan kementerian dan kita dapat input daripada ketua kampung dan penghulu.

“Tetapi apakah mungkin kita perkenal satu kaedah? Semua ketua-keuta jabatan, menteri semua sibuk. Tetapi boleh tak kita tugaskan setiap orang diberi amanah, Ketua Pengarah MKN (Majlis Keselamatan Negara), dia ambil satu kampung sebaiknya kampung asalnya,.

“Ketua Pesuruhjaya SPRM pergi ke kampung untuk lihat semua aspek masyarakat di kampung. Semalam di Ceruk Tok Kun, saya cuba panggil semua semua jawatankuasa masjid, surau, belia silat, sukarelawan kenal pasti berapa orang yang miskin tegar, berapa anak tidak ke sekolah kerana tercicir, berapa anak yang terlibat kes dadah, berapa yang sakit mental?

“Jadi kita lihat sebagai keluarga besar dalam satu kampung, saya hendak jadikan sebagai satu model, bolehkah kita lakukan?

‘Sebab saya tengok ia ada kesannya kerana kalau seorang itu menjadi pengarah, datuk bandar, dia jangan pergi sebagai datuk bandar, menyampah orang. Dia pergi sebagai anak kampung itu, kalau ada masalah, dia tulis dan kefahaman lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Perhimpunan Bulanan bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Dewan Seri Endon di sini hari ini.

Turut hadir, kedua-dua timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Mengulas lanjut, Anwar menambah, ketua pengarah dan jabatan tidak perlu turun ke kawasan setiap bulan namun memadai tiga bulan sekali dengan melantik seorang pegawai untuk mengkordinasikan masalah rakyat yang diterima.

“Kalau 10,000 pegawai kanan mulakan dulu, kita akan deal dengan 10,000 kampung kerana setiap kampung ada masalah dadah, keciciran, mental dan OKU serta tidak semua dana daripada kita dan kalau boleh kita tambah sikit.

“Bermula dengan pegawai-pegawai kanan, tolonglah kenal pasti kampung sebaiknya kampung asal kita untuk selaraskan. Kalau boleh dalam kesibukan kita, kalau sempat balik, tidak sempat balik tidak apa, boleh hubung dan ada seorang pegawai boleh koordinatkan,” katanya. – MalaysiaGazette