Yusof Haslam

GOMBAK – “Saya menghormati dia kerana Allahyarham seorang artis yang suka merendah diri dan mementingkan persahabatan” itu yang dikongsikan rakan baik Allahyarham Datuk Hail Amir iaitu Datuk Yusof Haslam.

Pengarah dan penerbit filem itu berkata, sepanjang bekerjasama ketika filem Jiwa Remaja pada era 70-an, Allahyarham gemar bergurau dan tidak pernah berkira apa sekali pun.

“Dulu, saya pernah anjur konsert bersama rakan saya dan arwah, saya bagi tahu dia konsert itu rugi tapi dia ini lain sampai tak nak ambil duit. Saya tetap bagi juga separuh pada dia dan di situ nampak dia mementingkan persahabatan. Kini saya memang kehilangan sahabat baik.

“Dia juga seorang artis yang merendah diri, Allayarham tahu bahawa zamannya sudah berlalu, namun jika dijemput untuk persembahan..dia pergi dengan harga (caj) yang berpatutan. Beliau tidak pernah tanya berapa dan hanya ambil apa sahaja bayaran yang diberikan” katanya dalam nada sebak di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, hari ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi berkata, Allahyarham seorang penghibur yang amat disenangi dalam kalangan artis dengan keperibadiannya.

Malah katanya, Allahyarham tidak pernah membezakan antara artis baharu dan lama meskipun sudah bergelar lagenda dalam industri tanah air.

“Anak seni pewaris budaya seniman rakyat untuk negara. Apa sumbangannya dalam lagu dan lakonannya, dia menyumbang kepada masyarakat dan negara.

“Siapa nak jadi seniman dia perlu ada bakat dan bakat yang ada pada Allahyarham Datuk Hail Amir tiada pada bakat lain.

“Dia tidak pernah membezakan artis muda atau lama, cuma baru baru ini faktor kesihatan dia kurang dengar sikit sehinggalah dia masuk hospital baru baru ini,”katanya ketika ditemui media.

Zed Zaidi

Tambah Zed Zaidi, Seniman sentiasa memberi sumbangan kepada artis veteran termasuk Allahyarham sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau agak ralat apabila Allahyarham sepatutnya diziarahi Menteri Komunikasi namun dimaklumkan pihak Hospital Kuala Lumpur (HKL), Allahyarham telah meninggal dunia.

“Benda ini pernah berlaku pada Allahyarham Jaafar Onn, kita rasa ralat sebab tak dapat hadir menziarahi, Allahyarham yang dah pergi. Tapi Allah SWT lebih sayang mereka,” ujarnya.

Hail atau nama sebenar, Abdul Hail, 79, disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL), kira-kira jam 3.48 petang akibat jangkitan paru-paru.

Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, di sini, sekitar pukul 11 pagi tadi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast