KUALA LUMPUR – Raspberry Ribbons yang telah menjadi ikon dalam industri floristry selama 18 tahun, dengan bangganya mempersembahkan ‘Festival Pelancongan dan Gaya Hidup’—acara yang meraikan keindahan budaya, kreativiti produk tempatan, dan gaya hidup mempesona.
Menurut pengasas Raspberry Ribbons, Tengku Melanie Tengku Maulud, festival ini adalah usaha untuk memperkasa bakat dan kebudayaan negara ini ke peringkat lebih tinggi.
Katanya, ini sekaligus bukan sahaja menarik perhatian masyarakat setempat sebaliknya pelancong luar untuk merasai sendiri kepelbagaian bakat tempatan dan budaya di negara ini.
“Program julung kali ini juga bertujuan untuk menyediakan platform kepada vendor untuk mempamerkan produk-produk tempatan selain kreativiti mereka.
“Para hadirin menyaksikan kepelbagaian seni dan budaya yang menjadi identiti negara melalui pelbagai pameran unik seperti batik yang merupakan warisan seni tekstil negara ini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.
Tengku Melanie berkata demikian dalam satu majlis perasmian anjuran Rasberry Ribbons di Quill City Mall di sini hari ini.
Turut sama ialah penaja HNM Healthcare Solutions Sdn Bhd hari ini.
Dalam pada itu, kata Tengku Melanie lagi, pihaknya juga teruja dalam mempromosikan rangkaian dan kolabrasi yang mampu menjadi jambatan antara pelancong, vendor, pempengaruh dan pihak berkepentingan.
“Acara ini membuka ruang kepada vendor tempatan untuk mempamerkan produk kreatif mereka, dari kraf tangan hingga inovasi moden. Selain itu, sebanyak 10 vendor terpilih akan menerima sijil penghargaan atas penyertaan mereka.
“Kita juga ada aktiviti interaktif seperti permainan interaktif untuk semua yang hadir.
“Festival ini bukan sekadar acara, tetapi platform untuk memperkukuh perniagaan tempatan dan memupuk penghargaan terhadap warisan budaya kita,” ujarnya.
Tambah beliau, acara ini juga berjaya menghimpunkan lebih 100 pengunjung tempatan dan luar negara termasuk dari Amerika Syarikat (AS), Korea, Jerman dan lain-lain.
“Ramai tunjuk minat dekat batik kita, makanan tradisional kita. Jadi hari ini mereka hadir sendiri.
“Lebih menarik dan menyentuh hati apabila kita ada juga usahawan-usahawan kecil-kecilan dari Pantai Timur hari ini. Mereka redah banjir demi promosi produk mereka pada platform kita sediakan.
“Pastinya ini tidak berhenti di sini sebaliknya kita akan adakan program seumpama ini dengan ketengahkan usahawan tempatan pada masa-masa akan datang juga,” katanya. -MalaysiaGazette