BATU KAWAN – Pembekal peralatan dan perkhidmatan fabrikasi wafer inovatif global kepada industri semikonduktor, Lam Research hari ini mencatat sejarah dalam Malaysia Book of Records (MBOR) dengan menampilkan kapasiti tong sistem penyimpanan dan pengambilan automatik (ASRS) terbesar di negara ini.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi Lam Research, Pat Lord berkata, kemudahan tersebut dilengkapi dengan Robot Mudah Alih Autonomi (AMR) dan Kenderaan Berpandu Automatik (AGV) untuk mengautomasikan tugasan yang berulang serta memakan masa.

“Pelaksanaan strategik sistem storan automatik berketumpatan tinggi membolehkan penggunaan ruang menegak kemudahan secara optimum.

“Pendekatan ini memaksimumkan kecekapan ruang, menduduki hanya satu perempat daripada jejak itu berbanding dengan pelaksanaan gudang standard.

“Memandangkan AI dan pengkomputeran termaju terus memacu permintaan untuk semikonduktor generasi akan datang, pembukaan kemudahan baharu kami merupakan langkah penting untuk meningkatkan lagi kecemerlangan operasi Lam dan memastikan syarikat kami boleh berkembang dalam jangka masa panjang,” katanya, hari ini.

Terdahulu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow merasmikan gudang automatik baharu Lam Research di Batu Kawan, di sini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong.

Gudang baharu itu menggunakan pelbagai sistem, teknologi dan robot termaju selain mempunyai inventori luas yang mengandungi bahagian penting untuk menghasilkan alat fabrikasi wafer termaju Lam.

Mengulas lanjut Pat Lord berkata, dengan menggunakan inovasi canggih, gudang yang diautomasi ini meningkatkan kecekapan pelaksanaan pihaknya di Pulau Pinang.

“Ini sekali gus membolehkan Lam memberi perkhidmatan luar biasa kepada pelanggan kami di Asia dan lain-lain.

“Kita juga menyasarkan 100 peratus penggunaan elektrik boleh diperbaharui menjelang 2030 serta pelepasan sifar bersih menjelang 2050 dan 80 juta gelen dalam penjimatan air menjelang 2025,” katanya. – MalaysiaGazette