Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Malaysia mengambil pendekatan untuk tidak campur tangan dalam urusan perniagaan syarikat global yang terlibat dalam Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia dan Perkhidmatan Keselamatan Kebangsaan (DSA-NATSEC) 2024 dengan mana-mana negara tertentu.

Malah, DSA-NATSEC 2024 juga tidak memihak atau memberi kelebihan kepada mana-mana negara atau syarikat tertentu, tegas Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini.

Katanya, kementeriannya mengambil maklum terdapatnya desakan segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan penyertaan beberapa syarikat pertahanan global dalam pameran DSA-NARSEC 2024 yang sedang berlangsung di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), ibu negara.

Bagaimanpun, jelas Khaled, Malaysia adalah sebuah negara perdagangan bebas yang memberi ruang kepada semua pemain industri global untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka di Malaysia.

“Hubungan beberapa syarikat pertahanan global dengan negara tertentu adalah urusan perniagaan yang tidak akan Malaysia campur tangan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan awal pagi tadi.

Dalam perkara sama, Khaled menambah, penganjuran pameran ini juga menyediakan ruang dan memberi peluang kepada semua pihak untuk mempamerkan kepakaran serta teknologi terbaharu pertahanan.

Pameran ini membolehkan kerajaan dari pelbagai negara dan para pemain industri global meneroka pelbagai teknologi dan inovasi termaju demi meningkatkan kesiapsiagaan pertahanan masing-masing.

“Pameran ini tidak memihak atau memberi kelebihan kepada mana-mana negara atau syarikat tertentu.

“Sebaliknya dibuka kepada semua negara dan pemain industri termasuk penyertaan besar dari negara-negara Islam seperti Republik Turkiye, Republik Indonesia, UAE, Iran, Bosnia & Herzegovina dan Pakistan,” ujar beliau.
Selain negara-negara Islam, pameran ini turut menjadi arena penting kepada pemain pertahanan Asia dari Korea Selatan, China, India dan Singapura.

“Lagipun, DSA dan NATSEC Asia 2024 juga adalah satu pameran yang dianjurkan oleh pihak swasta dengan kos dan perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh pihak penganjur dan kerajaan Malaysia tidak mengeluarkan sebarang perbelanjaan dalam penganjurannya,” ujar beliau.

Tegas beliau lagi, dasar perolehan pertahanan negara dilaksanakan dengan mengambil kira kemajuan teknologi mutakhir, keperluan strategik negara, kos sesuai nilai, kepentingan nasional serta pendirian politik global Malaysia.

Tambahnya, tiada perolehan pertahanan yang akan dilaksanakan tanpa mengambil kira pendirian global Malaysia terutama dalam konflik Palestin-Israel serta kepentingan kebangsaan Malaysia.

“Kementerian Pertahanan sentiasa secara konsisten mendukung dasar negara menentang segala bentuk ketidakadilan ke atas negara Palestin,” kata beliau.- MalaysiaGazette