Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat gimik peluncuran Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional 2024-2028 sambil disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Foto MALAYSIA GAZETTE, 07 MEI 2024.

PUTRAJAYA – Tiada syarikat Israel dibenarkan masuk ke Malaysia untuk menyertai Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC).

“Tiada syarikat Israel dibenarkan (masuk Malaysia dan DSA 2024). Yang benarkan 2002 itu Tun Dr Mahathir (Mohamad) bawa ZIM (syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel), kita sudah batalkan.

“Ingat 2002 yang membenarkan kapal Israel masuk dulu adalah Tun Mahathir masa jadi Perdana Menteri, tiada bagi alasan apa-apa pun.

“Kemudian diteruskan sehinggalah saya batalkan oleh Jemaah Menteri. Kita tak boleh izinkan,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Terdahulu beliau merasmikan Majlis Peluncuran Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Semalam, media melaporkan Tun Dr Mahathir  menggesa Kementerian Pertahanan mengambil tindakan tegas dan mengarahkan syarikat yang menjadi pembuat senjata kepada zionis untuk keluar dari Malaysia dengan segera.

Dr Mahathir berkata, pembabitan mereka dalam DSA dan NATSEC dengan kerjasama Kementerian Pertahanan sesuatu menjengkelkan serta penghinaan kepada perjuangan rakyat Palestin. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Syarikat kapal Israel disekat berlabuh di Malaysia