Mohamed Azmin Ali.

KUALA KUBU BAHARU – Peratusan keluar undi awal yang memberangsangkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu menunjukkan perkembangan positif.

Pengarah Pilihan Raya PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, peratus keluar mengundi sebanyak 96 peratus pada jam 3 petang merupakan petanda cukup baik kepada pengundi di kawasan itu.

“Ini adalah satu perkembangan yang cukup sihat dan akan memanfaatkan rakyat di KKB (Kuala Kubu Baharu).

“Terima kasih kepada pengundi awal khususnya anggota perkhidmatan awam, polis dan tentera yang telah melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat bagi memilih wakil rakyat di Kuala Kubu Baharu,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletakkan sasaran 75 peratus orang mengundi pada PRK itu.

PRK Kubu Baharu menyaksikan pertandingan empat penjuru melibatkan Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari Saut (PN), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, akibat kanser pada 21 Mac lepas. – MalaysiaGazette