KUALA LUMPUR – Mahkamah Persekutuan semalam sebulat suara menolak permohonan Wong Shee Kai (Ricky Wong) yang kini masih bebas (at large), untuk kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung permohonannya untuk menghadiri dan mengambil bahagian dalam prosiding mahkamah melalui teknologi kawalan jauh (RCT).
Mahkamah Rayuan sebelum ini telah menolak rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang tidak membenarkan kehadiran dan penyertaannya melalui RCT dalam prosiding tindakan sivil Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) terhadapnya.
Pada 5 Mei 2020, SC telah memulakan tindakan sivil terhadap Ricky Wong, Teh Sew Wan, dan Wong SK Holdings Sdn Bhd kerana melanggar seksyen 179(a) dan/atau 179(b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) berkenaan dengan penglibatan mereka dalam beberapa skim untuk menipu Bright Packaging Industry Berhad (Bright Packaging) berkaitan dengan penjualan sekuriti melalui kegiatan terbitan hak, penempatan persendirian, dan skim terbitan saham pekerja Bright Packaging.
Pada 4 Julai 2022, sementara prosiding perbicaraan sedang berjalan, Ricky Wong memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi menurut Aturan 33A Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 (Aturan 33A) untuk memohon terutamanya, perintah-perintah iaitu perbicaraan dan pendengaran sebarang prosiding interlokutori dalam tindakan sivil dijalankan melalui RCT; Ricky Wong dibenarkan menghadiri prosiding tindakan sivil melalui RCT; tertuduh dibenarkan memberi keterangan dalam tindakan sivil melalui RCT, sekiranya dia memutuskan untuk memberi keterangan.
Pada 23 November 2022, Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan RCT Ricky Wong kerana dia tidak memenuhi ambang (threshold) Aturan 33A dengan tidak mendedahkan lokasi tepatnya.
Selanjutnya, Mahkamah Tinggi juga memutuskan bahawa pentadbiran keadilan akan dicemarkan jika Ricky dibenarkan hadir dan mengambil bahagian dalam prosiding melalui RCT kerana dia kini seorang orang buruan (fugitive).
Dalam menolak permohonan Ricky Wong untuk kebenaran merayu, Mahkamah Persekutuan juga memerintahkan beliau membayar kos sebanyak RM20,000 kepada SC. – MalaysiaGazette