Pihak polis menghantar mayat mangsa ke hospital untuk proses bedah siasat.

BUKIT MERTAJAM – Seorang lelaki berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU) ditemui maut dengan keadaan kaki dan tangannya diikat dalam satu kejadian samun di kediamannya di Guar Perahu, Kubang Semang di sini hari ini.

Difahamkan kejadian berlaku kira-kira 3 pagi ketika mangsa berusia 46 tahun itu sedang tidur di sebuah bilik kediaman kampung dua tingkat manakala ibunya berusia 70-an yang turut diikat berada dalam bilik berasingan.

Kejadian itu hanya disedari bapa mangsa berusia 82 tahun yang tidur di bilik berasingan selepas mendapati isteri dan anaknya berada dalam keadaan kaki, tangan mereka diikat manakala mulut disumbat kain.

Bagaimanapun, selepas membuka ikatan tersebut warga emas itu mendapati mangsa yang juga OKU itu berada dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum memaklumkan kejadian kepada pihak polis.

Pihak keluarga masih menunggu siasatan polis serta hasil laporan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian mangsa.

Sementara itu, ahli keluarga terdekat mangsa yang hanya dikenali sebagai Putra berkata, pihak keluarga sedang menunggu siasatan polis serta laporan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian sepupunya.

“Kami masih menunggu hasil bedah siasat ke atas sepupu saya di Hospital Seberang Jaya dan syukur tiada kecederaan parah dialami mak teh dalam kejadian itu meskipun beberapa suspek itu dikatakan bersenjatakan parang,” katanya sambil menambah hanya televisyen sahaja dilarikan suspek dalam kejadian itu.

Terdahulu, tular beberapa keping gambar dalam sebuah grup komuniti memaklumkan insiden seorang OKU maut selepas rumahnya disamun.

MalaysiaGazette kini sedang mendapatkan pengesahan serta menunggu kenyataan rasmi daripada polis. – MalaysiaGazette