HULU SELANGOR – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mencabar pemimpin Perikatan Nasional (PN) melaporkan kepada pihak berkuasa serta-merta berhubung dakwaan jentera Pakatan Harapan (PH) menyogok dan menyalahgunakan jentera kerajaan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu berlangsung.

Beliau turut mempersoalkan sikap pemimpin PN yang hanya menunggu selepas PRK untuk melaporkan perkara itu, sedangkan mereka boleh melaporkannya sekarang kepada Polis Diraja Malaysia.

Katanya, dengan tindakan itu, beliau merasakan pemimpin pembangkang bersikap aneh kerana dilihat suka menangguhkan laporan kepada pihak berwajib sedangkan mereka mendakwa ada bukti PH melakukan kesalahan semasa berkempen.

“Kita menjalankan kempen kita ini dengan teratur, mengikut undang-undang. Kita memang tidak ada unsur rasuah.

“Jadi, mana-mana pihak yang tak puas hati, dia boleh buat petisyen dan sebagainya sama ada lepas pilihan raya, itu adalah hak ataupun proses dalam undang-undang.

“Saya rasa ini agak aneh. Apa pun terpulang kepada mereka (PN). Saya rasa dia (PN) tak boleh menang dalam pilihan raya (tiba-tiba) dia nak cabar pula nanti dalam petisyen. Bagi kita, kita menjalankan kempen mengikut lunas undang-undang.

“Kalau betul kita buat kesalahan, patutnya dilaporkan sekarang bukan tunggu selepas pilihan raya. Maksudnya kalau dia menang, tak ada masalah. Kalau dia kata dia nak cabar. Jadi, kalau ada mana-mana pihak tak berpuas hati, mereka boleh adu kepada mana-mana pihak berkuasa, ” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke sebuah akademi memandu di bandar Kuala Kubu Bharu, di sini hari ini.

Siew Fook memberikan reaksi itu sebagai menjawab kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang menegaskan PN akan mengemukakan petisyen pilihan raya sekiranya PH memenangi DUN Kuala Kubu Bharu.

Takiyuddin mendakwa, pihaknya mempunyai bukti berlakunya ‘penyaluran’ yang disifatkan sebagai rasuah, selain dakwaan penyalahgunaan jentera kerajaan dalam PRK ini.

Mengulas mengenai lawatannya ke sebuah akademi memandu di sini yang didakwa menyalahguna jentera kerajaan, Siew Fook menjelaskan, beliau dijemput oleh pihak akademi terbabit.

Selain itu, beliau terlebih dahulu bertanyakan hal itu kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum hadir ke akademi memandu berkenaan.

“Berhubung jemputan akademi (memandu) untuk datang ke sini, saya nak tegaskan program hari ini bukan anjuran Kementerian Pengangkutan (MOT), bukan juga program JPJ tetapi program dianjurkan sendiri (Akademi Memandu) PS Samy.

“Saya dijemput hadir dalam program ini tetapi sebelum saya hadir, ada tanya JPJ Selangor… (Jemputan daripada Akademi Memandu) PS Samy ini jemput saya, (saya tanya) ada apa-apa kes atau tidak? Buat apa-apa salah atau tidak? Lesen memandu caj tinggi atau tidak?

“Saya tanya JPJ dulu sebab saya adalah menteri. Tetapi, JPJ Selangor cakap saya boleh pergi (Akademi Memandu) PS Samy. Rekod (akademi memandu ini) cantik, tak ada apa-apa kes,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai penggunaan kenderaan rasmi kerajaan untuk berkempen, Anthony menjelaskan beliau hadir ke program rasmi kerajaan pada awalnya sebelum ke Kuala Kubu Bharu bagi menghadiri majlis petang ini.

“Saya bukannya datang Kuala Kubu Baharu sepanjang hari. Tadi saya ada program rasmi di Kuala Lumpur. Jadi selepas program rasmi itu sudah tentu kenderaan, pemandu mengikut saya untuk bawa saya ke sini.

“Jadi, saya rasa ini adalah sesuatu yang menjadi kebiasaan, bukan menyalahgunakan. Jadi, mana-mana pihak yang rasa ini sesuatu yang menyalahi apa-apa peraturan, boleh buat aduan kepada pihak berkuasa,” tambahnya. – MalaysiaGazette