Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Malaysia lebih pantas dalam membina ekosistem penggunaan teknologi kecerdasan (AI).

Menurutnya, ia termasuk keperluan terdesak untuk membina dan memperkukuh ekosistem AI bagi menerima perubahan berasaskan keperluan mendesak terhadap teknologi itu pada masa kini.

Anwar berkata, sejak mengambil tampuk pemerintahan, beliau melihat bagaimana cabaran negara meneroka pemikiran baharu selain melaksanakan menggunakan pendekatan baharu.

Malah, kata beliau, perlu wujud perancangan segera membabitkan sistem pendidikan negara bermula daripada pendidikan awal hingga ke institusi pengajian tinggi bagi membina ekosistem AI.

“Kita tidak boleh guna pendekatan lama. Semua pihak perlu beralih daripada pemikiran dan perancangan lapuk dengan menumpukan kepada masa depan negara.

“Ini sekaligus membuktikan keupayaan untuk membuat perubahan selaras dengan keperluan semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Malaysia Artificial Intelligence (AI) Nexus 2024 – Boosting the Future (MY AI NEXUS) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia hari ini.

Anwar turut melancarkan pelancaran Fakulti Kecerdasan Buatan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang menjadi fakulti pertama dengan pengkhususan AI di negara ini.

Dalam pada itu, Anwar juga berharap tumpuan utama akan diberikan dalam pembinaan ekosistem AI yang memerlukan kerjasama semua kementerian.

“Ini bermakna ekosistem persiapan kita dari peringkat sekolah rendah, menengah ke Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

”Sehinggalah ke institut pengajian tinggi, sektor swasta penjawat awam dan governance AI, itu semua harus mempersiapkan diri,” ujarnya. -MalaysiaGazette