CEO DarsSA Group Sdn Bhd, Ustaz Mohammad Faiz Zuhdi bersama sama ahli DarSA bergambar memegang makanan selepas sidang akhbar di DarSA Fried Chicken Bukit Beruntung, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 10 MEI 2024

RAWANG – Istilah type C yang digunakan admin Darsa Fried Chicken dalam Facebook sehingga tular dan menimbulkan pertikaian baru-baru ini bukan pendirian restoran itu.   

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DarSA Group Sdn Bhd, Mohammad Faiz Zuhdi, individu yang mengendalikan akaun media sosial tersebut sebelum ini tidak mempunyai pengalaman mengendalikannya.

CEO DarSA Group Sdn Bhd, Ustaz Mohammad Faiz Zuhdi  Foto AIZAT ZAINAL, 10 MEI 2024

Mengambil langkah proaktif, pihak pengurusan restoran makanan segera tersebut memindahkan individu tersebut ke bahagian lain selepas permohonan maaf dibuat secara terbuka.

“Tindakan tersebut tidak mencerminkan pandangan atau nilai- nilai yang dipegang oleh DFC. Kami amat menyesali kejadian ini dan mengambil tanggungjawab penuh atas kesilapan yang berlaku, serta memohon maaf kepada semua yang terkesan mahu pun terguris hati.

“Sebagai tindakan proaktif, kami telah membentuk satu pasukan berpengalaman untuk mengurus dan memastikan pengurusan komunikasi serta media sosial yang lebih berkesan,” katanya ketika sidang media.

Mohammad Faiz berkata, pengurusan tertinggi DFC akan memantau semua kandungan, maklum balas dan komen yang dihasilkan pada masa akan datang untuk mengelakkan perkara yang sama berulang.

“Setiap hantaran dan maklum balas harus terlebih dahulu mendapat kelulusan dari pengurusan tertinggi sebelum disiarkan, untuk memastikan kesesuaian dan kepatuhan terhadap standard etika kami.

“Kami berjanji bahawa insiden seperti ini tidak akan berulang di masa depan,” tambahnya.

Terdahulu, beliau berkata, individu yang mengendalikan Facebook milik restoran tersebut tidak berniat mencetuskan kontroversi dan membangkitkan isu yang menyentuh sensitiviti dalam negara.

Mengulas lanjut, Mohammad Faiz berkata, meskipun restoran  tersebut milik penuh bumiputera namun tiada diskriminasi pelanggan diamalkan.

“Kami juga ingin menegaskan bahawa DFC menolak sebarang tuduhan yang mengaitkan kami dengan isu perkauman atau keagamaan dan kami tidak membeza-bezakan pelanggan kami.

“Sebagai syarikat milik 100 peratus bumiputera, kami terharu menerima sokongan dari semua lapisan masyarakat dan kaum di Malaysia.

“Komitmen kami adalah untuk menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi selaras dengan semangat perpaduan dan saling menghormati,” tambahnya.

Sementara itu, beliau mengesahkan tidak menerima panggilan daripada pihak polis mengenai perkara itu sehingga kini namun bersedia untuk memberikan kerjasama sekiranya diperlukan.

Bagaimanapun, Mohammad Faiz berharap agar seluruh rakyat Malaysia menerima permohonaan maaf terbuka daripada Darsa Fried Chicken.

“Saya harap kita berhenti di sini (isu ini tidak dipanjangkan). Kami mahu menumpukan kepada memberikan perkhidmatan terbaik,” jelasnya.

Sebagai rekod, restoran baru beroperasi selama 10 hari yang disebut-sebut sebagai alternatif kepada KFC itu mendapat kecaman ekoran respon menyatakan harganya mahal.

Ini selepas restoran ini mengingatkan seorang pelanggan agar tidak “ditipu oleh sentimen buruk yang dimainkan oleh type C yang pengguna media sosial percaya merujuk kepada orang Cina di Malaysia.

Selepas dikritik hebat, restoran berkenaan menerusi kenyataan membuat permohonan maaf terbuka semalam. -MalaysiaGazette