JOHOR BAHRU – Tak padan dengan umur.
Demikian gambaran kepada seorang wanita warga emas berusia 75 tahun apabila dia antara empat yang ditahan kerana terbabit dalam kegiatan sindiket pengedaran dan pembungkusan dadah di rumah atas air di Pontian.
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, kesemua individu ditahan dalam serbuan dijalankan di Pontian Sabtu lalu antara 1.30 pagi hingga 12 tengah hari hasil risikan bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis (IPK) Johor dan JSJN IPD Pontian.
“Hasil serbuan itu pelbagai jenis dadah bernilai RM4.3 juta dirampas. Empat suspek tempatan yang ditahan itu merupakan tiga lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan umur 40 hingga 59 tahun.
“Manakala suspek wanita berusia 75 tahun adalah kakak kepada salah seorang suspek lelaki yang turut ditahan bersama ketika serbuan.
“Modus operandi kegiatan sindiket pengedaran dadah ini adalah menjadikan rumah atas air sebagai tempat pemprosesan dan tempat pembungkusan semula dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor hari ini.
Jelas Kumar lagi, hasil risikan, kegiatan itu telah mula aktif sejak sebulan lalu.
Katanya dalam serbuan itu juga pelbagai alat memproses dadah dan membungkus serbuk ekstasi turut dirampas.
Polis merampas 25.5 kilogram serbuk ekstasi, pil eramin 5 (970 biji), pil ekstasi (1,700 biji), ketamin (232.60 gram) dan ganja (369.02 gram) .
Polis turut menyita enam kereta, wang tunai RM21,000 dan mata wang tunai S$13,000 (RM45,676).
“Sindiket ini juga membuat inovasi sendiri dengan menghasilkan tempat untuk mengeringkan serbuk ekstasi sebelum dibungkus,” katanya.
Hasil siasatan turut mendapati terdapat mesin memproses pil eramin 5.
“Hasil saringan air kencing mendapati tiga suspek lelaki positif dadah methaphetamine dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
Kesemua suspek direman seminggu berakhir hari ini untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.-MalaysiaGazette