Kebakaran hutan yang menyebabkan jerebu menjadi punca kepada kemerosotan kualiti udara dan memberi kesan kepada tahap kesihatan penduduk dan hidupan di kawasan berkenaan.

Oleh: Dr. Mohd Ihwan Zakariah

KEADAAN cuaca panas melampau sedang dihadapi oleh penduduk sekitar Asia sejak awal tahun 2024 ini amat membimbangkan.

Isu ini dilihat semakin menjadi topik utama yang hangat diperbincangkan apabila melibatkan laporan kehilangan nyawa disebabkan oleh strok haba.

Laporan dari sumber Straits Times Graphic – AFP, Air Temperature from the Global Deterministic Prediction System, Environment and Climate Change Canada menyatakan benua Asia menunjukkan peningkatan suhu bermula 33 sehingga 45 darjah Celcius yang mana merupakan suhu yang tertinggi jika dibandingkan dengan suhu sebelum ini.

Namun begitu, dari aspek alam sekitar, kes kematian ikan dan juga kebakaran hutan menjadi faktor yang memburukkan lagi keadaan fenomena ini. Laporan sebelum ini menyatakan kes kematian ternakan ikan sangkar di Pahang seperti yang dilaporkan sebelum ini mempunyai saling kaitan dengan fenomena ini bakal memberi impak buruk kepada produktiviti penghasilan sumber perikanan.

Selain itu juga, kebakaran hutan yang berlaku memberi kesan kepada habitat asal haiwan yang telah lama mendiami kawasan tersebut.

Hal ini menyebabkan gangguan habitat yang berlaku memberi kesan kepada penghijrahan populasi haiwan ke kawasan lain dan secara tidak langsung akan mengganggu gugat keselamatan penduduk setempat yang berdekatan dengan kawasan hutan.

Selain itu juga, kes kebakaran hutan juga memberikan impak kepada mutu kualiti udara yang mana boleh memberi kesan langsung kepada tahap kesihatan masyarakat.

Punca berlakunya kebakaran hutan ini masih belum dikenal pasti dan langkah yang drastik perlu diambil bagi mengatasi masalah ini daripada berlarutan.

Isu peningkatan suhu memang di luar kawalan kita, tetapi perlu ada inisiatif bagaimana untuk mengatasinya melalui kaedah dan inovasi yang mampumenyelesaikan isu global ini.

Antara langkah-langkah biasa diambil untuk mengatasi isu kebakaran hutan semasa musim panas ini termasuklah melalui pencegahan awal dengan cara menyalurkan maklumat kepada orang ramai tentang bahaya kebakaran hutan dan tindakan pencegahan seperti tidak membakar sampah sembarangan atau membuang puntung rokok di kawasan yang berpotensi untuk mencetuskan kebakaran seperti kawasan rumput dan hutan yang mempunyai daun kering.

Selain itu juga, pemantauan secara berkala perlu dipergiat bagi memantau kawasan berpotensi terbakar dengan menggunakan teknologi seperti satelit dan drone untuk mengesan titik panas atau kebakaran yang mungkin berlaku.

Tindakan pemadaman yang efektif perlu disediakan untuk memastikan tatakelola pemadaman dapat dilakukan dengan segera dengan menghantar pihak berkuasa ke lokasi dan menggunakan peralatan pemadaman yang sesuai.

Kerjasama antara pihak pemegangtaruh berkaitan seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Bomba dan Penyelamat, pihak Jawatankuasa Pemantauan Keselamatan Kampung (JPKK) dan masyarakat setempat penting demi untuk sama-sama mengembleng tenaga dalam mengatasi isu ini.

Langkah untuk melakukan pengasingan dan pemindahan penduduk perlu dibuat jika perlu dan memberikan perlindungan kepada spesies haiwan liar yang terancam.

Pihak penguat kuasa tempatan perlu memberikan pengetahuan dan maklumat terkini kepada masyarakat tentang cara-cara untuk bertindak dengan selamat semasa musim panas dan pentingnya menjaga kelestarian alam sekitar.

Ini hanya beberapa langkah yang boleh diambil, tetapi kerjasama dan persediaan yang baik dari semua pihak amat penting dalam menangani masalah ini dari berlarutan.

 

Penulis adalah Timbalan Ketua Pegawai Penyelidik Universiti Malaysia Terengganu

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast