Membaca bahan bacaan dalam bahasa Inggeris boleh meningkatkan keupayaan pemahaman dalam bahada tersebut.

Oleh: Nurulisyazila Othaman

PELUANG mempelajari bahasa ketiga pada hari ini dilihat banyak kelebihan. Ia bukan sahaja dipelajari sekadar mencukupkan jam kredit pelajar mahupun sebagai syarat untuk bergraduasi. Sebenarnya, ia juga merupakan nilai tambah kepada mereka.

Kebanyakan universiti menawarkan kursus bahasa ketiga yang juga dikenali sebagai bahasa asing kepada semua pelajar sama ada sebagai kursus umum, wajib atau elektif.

Bahasa Melayu juga turut ditawarkan sebagai bahasa ketiga bagi pelajar antarabangsa.

Para pelajar perlu merebut peluang ini dan memanfaatkan ilmu yang diperoleh sebaik mungkin.

Usah beranggapan kursus ini sebagai bebanan tambahan yang perlu ditanggung kerana mungkin bukan sekarang tetapi kelak kita akan nampak kelebihannya.

Berikut merupakan antara kelebihan apabila kita mempelajari bahasa asing.

 Meluaskan pasaran kerjaya profesional

Sering kali kita mendengar bahasa ketiga merupakan ‘bonus’ untuk diri para pelajar.

Ia kerana bahasa ketiga merupakan kursus atau subjek tambahan untuk kita. Kita sebagai seorang pelajar bidang kejuruteraan contohnya bijak dan cekap dalam bidang kejuruteraan mahir pula dalam pelbagai bahasa, sudah pasti diri kita dilihat mempunyai kelebihan tersendiri.

Peluang untuk menempatkan diri di pasaran global juga terbentang luas terutama di negara penutur bahasa yang telah dipelajari.

Kita seharusnya menggunakan kelebihan yang ada untuk merebut sebanyak mungkin peluang kerjaya di hadapan mata. Ia bukan sahaja memberi manfaat kepada diri sendiri malah turut menyumbang manfaat kepada negara kita. Majikan lebih yakin memilih calon yang memiliki potensi mahir berkomunikasi pelbagai bahasa.

Ini dapat membantu menarik minat rakan kongsi dan pelanggan syarikat untuk menjalin kerjasama dengan adanya pegawai yang memiliki kemahiran berkomunikasi secara efektif melalui bahasa mereka.

 Pelajar lebih aktif dan kreatif

Mempelajari bahasa ketiga dapat memacu minda para pelajar untuk lebih aktif berfikir secara kritis dan kreatif.

Apabila seseorang mempelajari sesuatu bahasa yang bukan pertuturannya di rumah, mereka lebih cenderung untuk berusaha mencari cara dan gaya untuk menguasai bahasa tersebut.

Pastinya ia membuatkan seseorang untuk berfikir dan bergerak aktif mengaplikasikan bahasa tersebut. Mereka boleh menggunakan bahasa tersebut secara kreatif dalam penulisan atau menyertai pertandingan bercerita atau pidato dengan bahasa ketiga yang mereka sedang pelajari.

Guru-guru bahasa turut menyediakan pelbagai aktiviti seperti karnival bahasa ketiga/asing.

Ini dapat membuka peluang para pelajar untuk menggunakan bahasa yang dipelajari malah turut berpeluang mengenali budaya penutur bahasa tersebut.

Pengalaman penulis sendiri, para pelajar dilihat sungguh bersemangat dan mencuba sedaya upaya untuk bertutur menggunakan bahasa yang dipelajari ketika menyertai karnival dan program bahasa.

Mereka sangat seronok dan amat berpuas hati selepas berjaya bertukar pengetahuan bahasa dan budaya bersama para pelajar daripada kursus-kursus bahasa yang lain.

Lebih seronok lagi, sebahagian pelajar yang dilihat pasif dalam kelas berubah menjadi seseorang yang sangat aktif dan bersemangat untuk mencuba sebaik mungkin bertutur menggunakan bahasa ketiga yang dipelajari demi menjayakan program/karnival bahasa yang disertainya.

Selain itu, para pelajar turut dapat mengeksplorasi dan merujuk bahan rujukan karya asli bahasa dipelajari yang mana karyanya lebih lengkap dan asli berbanding versi terjemahan dan seumpamanya.

Kini, aplikasi dalam talian juga sudah terlalu banyak disediakan untuk kita gunakan sebagai salah satu medium latihan menggunakan bahasa yang dipelajari.

 Membina keyakinan diri

Menguasai bahasa asing dapat mempertingkat keyakinan dalam diri pelajar. Pelajar – pelajar tidak perlu gusar untuk keluar dan bertutur menggunakan bahasa yang telah mereka pelajari dalam komunikasi harian bersama penutur asal sesuatu bahasa.

Para pelajar juga lebih yakin dan seronok merasai pengalaman baharu sekiranya berpeluang melancong ke negara bahasa yang dikuasai.

Apabila para pelajar telah lancar berkomunikasi dengan sesuatu bahasa asing, mereka juga akan lebih yakin berkomunikasi dan bergaul dengan masyarakat negara tersebut.

Secara tidak langsung, ia membuka peluang kepada pelajar mendepani cabaran dan pengalaman baharu kepada pelajar untuk mengenal lebih dekat budaya negara penutur bahasa yang dipelajari.

Selain itu, apabila para pelajar selesa berkomunikasi bersama penduduk setempat, mereka lebih mudah untuk mencuba pelbagai aktiviti kebudayaan, makanan tempatan, mengenal dan bertanya arah tempat-tempat menarik di sana. Ini membuatkan perjalanan mereka lebih bernilai dan bermakna untuk dikenang selalu dalam ingatan.

Bagi yang tidak berpeluang melancong ke luar negara, ambil peluang untuk berkomunikasi dengan para pelajar antarabangsa yang berada dalam universiti anda.

Berkunjunglah ke restoran makanan luar negara yang diusahakan sendiri oleh warganegara asal restoran tersebut seperti restoran Arab, Korea dan Jepun yang banyak terdapat di Malaysia.

Cuba berkomunikasi menggunakan bahasa pertuturan mereka ketika membuat pesanan makanan tanpa rasa malu dan takut.

Ini sedikit sebanyak sebenarnya membantu kita agar lebih fasih dan yakin menggunakan bahasa yang telah kita pelajari di samping dapat menambah kosa kata bahasa yang dipelajari.

Usah terlalu risau untuk cuba bertutur hanya kerana anda mengambil kursus bahasa asing di peringkat asas di universiti kerana tiada yang mustahil jika kita berminat dan berusaha dengan bersungguh-sungguh.

 

Penulis dari Pusat Pengajian Bahasa
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast