KUALA LUMPUR – Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berkaitan kes sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng, di sini, terbakar akibat dibaling bom petrol awal pagi kelmarin.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kedua-dua lelaki tempatan berkenaan ditahan pukul 3 petang di sebuah rumah.
Menurutnya, jumlah terkini tangkapan suspek yang terlibat dalam kes tersebut adalah empat orang lelaki.
“Kesemua tangkapan tersebut berusia dalam lingkungan 25 hingga 28 tahun dan telah direman selama empat hari mulai hari ini 14 Mei,” katanya menerusi kenyataan.
Katanya, polis masih menyiasat motif tindakan jenayah itu.
Sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng terbakar selepas dipercayai dibaling dengan bom petrol, pada awal pagi Khamis lalu.
Satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 45 saat berhampiran premis terbabit tular di media social.
Rakaman itu menunjukkan empat lelaki menaiki dua motosikal berhenti di hadapan premis terbabit dan membaling dua bom petrol sebelum beredar dari lokasi kejadian. – MalaysiaGazette