KUALA LUMPUR – Lelaki terlibat dalam kegiatan samun berkumpulan di Jalan Memanda, Ampang 6 Mei lalu diberkas sejam selepas kejadian.
Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, suspek berusia 32 tahun diserahkan oleh orang awam di tempat kejadian.
Suspek terdahulu, terlibat dalam kes samun dan menumbuk seorang wanita yang pada mulanya bertemu dengan tiga orang lelaki untuk menukar sebanyak 50,000 dalam dolar Amerika Syarikat ke ringgit berjumlah kira-kira M236,900.
“Tiba-tiba suspek telah merampas beg, menumbuk pengadu (Wanita) dan melarikan diri ke arah Jalan Besar Ampang untuk menaiki sebuah motokar yg sedang menunggu.
“Suspek tidak berjaya melarikan diri dan orang awam telah menangkap suspek di tempat kejadian lalu menghubungi pihak polis,” katanya menerusi kenyataan.
Dalam pada itu Mohd Azam memaklumkan, seorang lagi lelaki berusia 65 tahun dipercayai terlibat dengan kes samun tersebut ditahan di Jalan Pusat Bandar Bertam Perdana, Kepala Batas, Pulau Pinang jam 12.40 tengah hari semalam.
“Hasil ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek dapati negatif dadah. Semakan dapati suspek pertama tiada rekod lampau dan suspek kedua mempunyai empat rekod jenayah lampau,” katanya.
Jelas beliau, siasatan mendapat modus operandi kumpulan samun itu adalah dengan menyasarkan mangsa ketika proses penukaran wang.
Suspek pertama direman tujuh hari sehingga 3 Mei, manakala suspek kedua direman lima hari sehingga 15 Mei.
Mohd Azam berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan merujuk kepada perbuatan rompakan berkumpulan.
“Hukuman Seksyen 395 Kanun Keseksaan hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai dua puluh tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat,” tambahnya.-MalaysiaGazette