KUALA LUMPUR – Istana Budaya (IB) menggerakkan program bertemakan Resilience & Triumph, iaitu Lambang Sari Series (LSS) yang melibatkan persembahan seni bertaraf antarabangsa pada tahun ini.
Buat julung kalinya, persembahan anjuran IB itu akan dipertontonkan di luar panggung dan akan menemui peminat di Dewan Filharmonik Petronas pada jam 8.30 malam 18 Mei ini.
LSS merupakan program utama IB yang dijayakan Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) yang berjaya melicinkan jualan tiket pada tahun lalu untuk keseluruhan siri bagi muzik klasikal barat di pentas Panggung Sari.
Konduktor orkestra, Nasran Nawi berkata, seramai 39 pemuzik OSK, 39 pemuzik jemputan dan pemain piano solo tempatan, Muzaffar Abdullah bakal menyuntikkan kelainan dalam program kali ini dengan mempersembahkan komposisi lagu terkenal dari komposer barat.
“Bukan itu sahaja, persembahan kali ini juga akan menampilkan pemain piano terkenal dunia, Muzaffar Abdullah yang akan bergabung tenaga untuk menjayakan persembahan muszik klasikal barat yang akan mengujakan penonton,” tambahnya.
Menurut Ketua Pengarah Istana Budaya, Zubaidah Mukhtar, orang ramai perlu merebut peluang menonton program-program yang dijalankan IB untuk merasai sendiri pementasan bertaraf antarabangsa dengan harga tiket yang berpatutan.
“Kami menawarkan tiket dengan harga bermula RM88 serta potongan harga sebanyak 30% bagi penjawat awam (GOV30) dan warga emas (SENIOR30).
“Golongan pelajar dan pemegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU) pula boleh membuat pembelian terus di kaunter dengan mempamerkan kad mereka,” katanya.
Melalui program ini, IB menjanjikan pengalaman menakjubkan sekali seumur hidup yang sukar untuk dilupakan buat mereka yang hadir menonton program ini nanti.
Mereka yang berminat untuk membuat pembelian boleh mendapatkan tiket di laman sesawang DFP https://www.dfp.com.my/lambang-sari-series-resilience-and-triumph dan menghubungi Unit Perhubungan Awam IB di talian 03-4026 5555 atau emel ke [email protected] untuk sebarang pertanyaan. – MalaysiaGazette