Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengangkat tangan calon Pakatan Harapan, Pang Sock Tao selepas diumumkan sebagai Ahli Dewan Undangan (ADUN) baru sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.06 Kuala Kubu Baharu ketika di Pusat Penjumlahan Undi, Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 11 MEI 2024.

KUALA KUBU BAHARU – Kemenangan calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu menunjukkan Kerajaan Perpaduan masih mendapat sokongan kukuh pengundi pelbagai kaum.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kemenangan itu juga satu isyarat yang boleh dianggap pungutan suara rakyat yang mahu Kerajaan Perpaduan kekal di Selangor dan meneruskan pentadbiran di Putrajaya.

“Kita mendapat peningkatan di beberapa undi Melayu yang menunjukkan Melayu lebih yakin dengan Kerajaan Perpaduan. Kita memenangi undi awal, sebahagian besar adalah penjawat awam yang menyatakan sokongan dan keyakinan kepada Kerajaan Perpaduan.

“Kerajaan Perpaduan masih lagi mendapat sokongan yang kukuh dan ampuh daripada pengundi pelbagai kaum termasuk masyarakat Orang Asli yang memberi undi sangat signifikan dalam PRK ini,” katanya pada sidang media di sini sebentar tadi.

Dalam pada itu, Amirudin yang juga Pengerusi PH Selangor berkata, peratusan undi diterima calon PH itu meningkat tiga peratus kepada 57 peratus berbanding pilihan raya negeri (PRN) lepas iaitu sebanyak 54 peratus .

Beberapa pencapaian membanggakan termasuk berjaya merampas beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM), undi awal dan undi pos yang sebelum ini dimenangi pihak lawan.

“(Sebelum ini) juga kita tewas di Kerling, Sungai Air Jernih dan Pertak, dua daripadanya iiatu Sungai Air Jernih dan Pertak merupakan kawasan majoriti Melayu, Islam dan bumiputera.

“Kita juga melihat pengurangan majoriti yang dicatatkan walaupun PN masih menguasai Bandar Utama Batang Kali, apabila majoriti mereka menyusut sekitar 1,700 undi (sebelum ini) kepada 1,300 undi sahaja.

“Jadi, saya percaya ini satu signal dan juga kalau mereka anggap pungutan suara, ini pungutan suara endorsement kepada kerajaan Perpaduan di Selangor dan Putrajaya,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut berharap Sock Tao dapat meneruskan kerja baik yang dimulakan mendiang Lee Kee Hiong selama ini.

“Harap Pang dapat perbaiki kelemahan yang mungkin ada dan pertingkat perkhidmatan dari masa ke semasa serta dapat meneruskan legasi kemenagan PH di pilihan raya akan datang.

“Justeru bagi pihak pengerusi PH dan Mentwri Besar, saya ingin mengucapkan ribuan twrima kasih kepada parti dan jentera yang bekerja keras memastikan kemenangan ini,” tambahnya.

Mengulas mengenai kenyataan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang memberi amaran gabungan berkenaan akan memfailkan petisyen jika PH memenangi PRK Kuala Kubu Baharu, Amirudin secara sinis berkata, itu petanda PN sudah menyedari mereka sudah tewas sejak awal lagi.

“Tiga hari sebelum pilihan raya berlangsung, mereka seolah-olah sudah mengaku kalah dengan mengatakan ingin menghantar petisyen.

“Tapi kita yakin kita telah menjalankan kempen yang berkesan, bersasar, berhemah tanpa perlu caci maki atau tabur fitnah sepanjang pilihan raya ini berbeza kempen PN yang menimbulkan kekeliruan dalam banyak perkara.

“Jadi itu hak masing-masing tapi apa yang disebut Takiyuddin itu itu adalah petanda mereka sudah menyedari akan tewas dalam PRK ini,” katanya. – MalaysiaGazette