menteri Israel Malaysia
Wisma Putra

PUTRAJAYA – Malaysia mengalu-alukan Resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menggesa  agar Majlis Keselamatan PBB menimbang semula permohonan Palestin untuk diterima sebagai anggota penuh PBB setelah permohonan itu digagalkan oleh satu undi veto pada bulan lepas.

Resolusi  yang diluluskan semasa Sesi Kecemasan Khas Ke-10 di Perhimpunan Agong PBB pada 10 Mei tahun ini telah disokong oleh 143 negara, sembilan menentang dan 25 berkecuali.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan hari ini berkata sokongan melebihi dua pertiga negara anggota PBB dalam menyokong hak rakyat Palestin menentukan nasib mereka sendiri dan hak untuk negara Palestin yang berdaulat, mencerminkan komitmen masyarakat antarabangsa yang tidak berbelah bahagi untuk mencapai keamanan yang berkekalan di Timur Tengah.

“Resolusi ini juga memberikan hak dan keistimewaan kepada Palestin untuk menyertai secara penuh sesi-sesidi PBB,” katanya.

Ia berkata Malaysia telah menyokong dan menaja bersama resolusi ini, bersama-sama dengan 76 negara anggota PBB yang lain.

Malaysia akan meneruskan usaha ke arah penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sepadan pra-1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara serta kemasukan Palestin sebagai anggota penuh PBB, katanya.

Terdahulu Agensi Anadolu melaporkan resolusi itu yang diterajui Emiriah Arab Bersatu (UAE) (bagi pihak Kumpulan Arab) pada Jumaat  diterima selepas mendapat sokongan majoriti dengan 143 negara anggota menyokong, sembilan menentang dan 25 berkecuali, lapor  Agensi Anadolu.

Ditaja bersama Turkiye dan hampir 80 negara anggota, resolusi itu menzahirkan “ kekesalan dan kebimbangan” terhadap veto dari Amerika Syarikat (AS) di Majlis Keselamatan PBB pada 18 April lepas. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast