KUALA LUMPUR – Seorang lelaki menyamar sebagai pegawai kerajaan sebuah kementerian dan meminta rasuah sebanyak RM6,000 ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber SPRM, lelaki tersebut ditahan di Pejabat SPRM Pulau Pinang kira=-kira jam 11 malam tadi ketika hadir bagi memberi keterangan.

Sumber itu berkata, suspek 30-an yang bekerja sendiri menyamar sebagai pegawai kerajaan dan pada mulanya meminta RM8,000 daripada seorang wanita sebagai balasan membantu mengubah Laporan Kimia membabitkan kes dadah suami wanita itu.

“Suspek memaklumkan akan membantu mengubah Laporan Kimia bagi membolehkan suami wanita itu yang kini ditahan reman atas kes dadah dapat dibebaskan.

“Wanita itu yang percaya dengan kata-kata suspek kemudian telah menyerahkan wang rasuah kira-kira RM6,000 kepadanya,” katanya.

Katanya, perintah reman selama tujuh hari sehingga 7 Mei dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Georgetown pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette