Mohamed Azmin Ali.

KUALA KUBU BAHARU – Biar pun Pakatan Harapan (PH) memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu namun jumlah undi yang diperoleh Kerajaan Perpaduan didapati menurun.

Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa gabungan itu tidak terkesan dengan penurunan tersebut biar pun gagal merampas kerusi berkenaan.

“Kedudukan kita masih kuat tidak terkesan hanya penurunan 628 undi faktornya kerana peratusan keluar mengundi jatuh merudum daripada 69 peratus kepada 61 peratus.

“Tetapi penurunan sokongan itu kecil berbanding penurunan peratusan mengundi,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama (BGU) PN malam ini.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin berkata, PN mengalami peningkatan bagi pengundi saluran satu hingga tiga yang khusus kepada pengundi berusia.

“Kalau kita tengok lokaliti mengikut saluran 1 hingga 3 pengundi lama itu meningkat secara besar kepada PN. Maka dalam PRK ini kita telah berjaya memberikan penegasan kepada warga emas tentang dasar dan juga program PN.

“Maka mereka mengundi PN itu peningkatan cuma disalurkan 4 dan 6 itu berlaku sedikit penurunan tapi tidak beralih ke PH sebab mereka pun berlaku penurunan yang lebih besar daripada PN,” katanya lagi.

Ditanya mengenai pengundi Orang Asli yang memihak kepada PH, Mohamed Azmin berkata, kelebihan itu hanyalah sedikit jika dicerminkan dengan kadar pengundi di kawasan tersebut.

“(Undi) Orang Asli walaupun kita menang di PDM Pertak pada PRN lalu tapi di PRK pihak sama telah mengepung tapi saya kira itu terlalu kecil kerana hanya 400 pengundi.

“Tapi secara keseluruhannya ini tidak menjejaskan prestasi PN kerana jumlah di PDM Pertak itu hanya 413 sahaja,” jelas Mohamed Azmin lagi.

Untuk rekod, calon PH, Pang Sock Tao berjaya mempertahanlan kerusi itu dalam persaingan empat penjuru di KKB.

Perikatan Nasional (PN) meletakkan Khairul Azhari Saut, Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) manakala Nyau Ke Xin calon Bebas. – MalaysiaGazette