Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi berucap pada Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-78 Tahun di World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 11 MEI 2024.

KUALA LUMPUR – UMNO memerlukan mereka yang memegang jawatan dalam parti untuk menampilkan idea segar dan bernas serta mengorak langkah sesuai dengan anjakan perubahan pentas politik.

Presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sudah tiba masanya pemimpin Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Negeri, Bahagian mahu pun Cawangan untuk membuktikan cara yang sesuai di peringkat masing-masing untuk mengangkat semula parti.

“Kita mungkin bukan seperti dahulu perlu mencagar barang kemas dan bergolok bergadai demi kelangsungan parti. Kita juga tidak lagi dapat memberi nikmat pembangunan dan jawatan seperti sebelum ini tetapi apa yang kita punyai hari ini perlu digunakan untuk benar-benar dirasai rakyat,” katanya ketika berucap di Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-78 di Pusat Dagangan Dunia malam ini.

Menurut Ahmad Zahid, walaupun asas perjuangan UMNO masih sama namun perlu diingat bahawa penyampaian kepada rakyat kini berbeza apabila persepsi lebih dipercayai berbanding realiti.

Sehubungan itu, beliau menyeru supaya pemimpin parti berkenaan menggunakan naratif mencipta sentimen menerajui pemikiran rakyat.

“UMNO mesti menyesuaikan  diri dengan persekitaran, mengekang fitnah dahsyat di media sosial dan tidak semata-mata dalam mood defensive walau kita sebahagian kerajaan.

“Kita mesti memahami permainan dengan emosi dan perasaan, kita guna cara halus dan lunak yang mengusik jiwa. Gunakan cara ini untuk mendapat sokongan kuat dalam kalangan rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast