Pasukan polis JSPT IPD Ampang mengeluarkan 50 saman dn lima motosikal disita atas pelbagai kesalahan termasuk ubahsuai ekzos bising dalam operasi di Ampang di sini.

KUALA LUMPUR – Tindakan sekumpulan penunggang motosikal yang mempamerkan aksi merbahaya selain menguji bunyi kuat ekzos mengundang padah apabila dicekup oleh polis dalam serbuan di Jalan Ampang dan Tasek Permai, Ampang, semalam.

Malah, lokasi itu disyaki menjadi ‘port’ untuk kumpulan tersebut menguji motosikal mereka sebelum digempur sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ampang Jaya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, operasi samseng jalanan mensasarkan penunggang motosikal itu dilaksanakan bermula dari jam 1 pagi sehingga jam 3 pagi.

“Pasukan polis telah membuat pemeriksaan ke atas seramai 28 individu bersama 24 buah motosikal di atas jalan raya.

“Hasilnya, polis mengeluarkan sebanyak 50 keping saman terhadap mereka selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan lazim seperti tiada lesen memandu, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, ubah suai ekzos dan juga lain-lain kesalahan di Bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau, dalam operasi sama pasukan polis turut menyita lima buah motosikal di bawah Seksyen 64(1) Seksyen 6(4) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kesalahan mengubahsuai ekzos, tiada lesen memandu yang sah dan beberapa kesalahan lain.

Ujarnya, operasi itu dijalankan selepas pihaknya menerima aduan masyarakat mengenai gangguan ketenteraman ekoran bunyi bising ekzos motosikal kumpulan penunggang disusuli risikan yang dijalankan oleh pihaknya.

“Operasi pemeriksaan dan penahanan secara rambang itu dijalankan dengan memfokuskan kepada kenderaan yang melakukan pengubahsuaian yang keterlaluan sehingga melanggar undang-undang yang diperuntukkan pihak berkuasa.

“Operasi kami turut memberi tumpuan terhadap tindakan kepada penunggang yang melakukan aksi-aksi yang berbahaya di atas jalan raya yang boleh mengundang risiko bahaya ke atas nyawa pengguna lain.

“Kesemua motosikal yang disita itu dibawa ke Balai Polis Trafik Ampang untuk tindakan lanjut berlandaskan undang-undang,” katanya.-MalaysiaGazette