Anggota bomba dan DBKL mengalihkan pokok besar yang tumbang ke atas kereta dan landasan monorel berhampiran Hotel Concorde di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 07 MEI 2024.

PELABUHAN KLANG – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan mendapatkan maklum balas daripada Jabatan Perhutanan untuk menentukan sejauh mana pokok-pokok berusia dan uzur berisiko tinggi sebelum ditebang.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, lazimnya pokok berusia dan uzur itu akan dirawat terlebih dahulu dan tindakan menebang hanya dilakukan jika benar-benar mengancam nyawa.

“Kebanyakan pokok ini dalam kawasan kerajaan tempatan, mereka ada garis panduan tersendiri, biasanya mereka mempunyai pakar pokok.

“Kita mahu peliharaan seberapa banyak yang mungkin kerana untuk mencapai saiz itu (tumbesaran) itu memakan masa bertahun lamanya.

“Kalau ia mendatangkan kecederaan, kita kena rawat atau buat sesuatu, ada kes kalau teruk sangat baru dia potong dan perlu diganti baharu,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenal pasti sebanyak 175 pokok berisiko tinggi yang mana sebahagian besarnya berusia lebih 50 tahun.

Menurut DBKL, dari jumlah itu, sebanyak 147 daripokok terbabit sudah ditebang.

Selasa lalu, kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur mengorbankan nyawa seorang lelaki dan menyebabkan dua individu cedera ketika hujan lebat dan angin kencang.

Pokok tersebut juga jatuh dan menghempap 17 kenderaan serta landasan Monorel. – MalaysiaGazette