Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah (duduk tengah) bersama pempamer dan pengunjung Jom Masuk U Zon II di UPM.

SERDANG – Seramai 12,000 pengunjung sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan telah menghadiri Program Jom Masuk U Zon II di Pusat Kebudayaan dan Keseniaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM) semalam.

Program itu dikunjungi oleh pelbagai kelompok pengunjung termasuk pelajar lepasan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Matrikulasi, Asasi, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan diploma atau setaraf.

Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, penganjuran ini bertujuan mempromosi maklumat mengenai program pendidikan yang ditawarkan oleh Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

IPT yang menyertai program ini mempamerkan pengajian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) dan Sains, Teknologi, Enginering dan Matematik (STEM) bidang pertanian yang kini menjadi keperluan negara yang ditawarkan oleh IPT kepada pengunjung.

Turut dipamerkan ialah pertanian menggunaan kecerdasan buatan (AI) iaitu pengesan tekanan tumbuhan menggunakan aplikasi DEEP-NDVI Model, pertanian pintar menggunakan data tepat AI, pertanian digital berkembar oleh Putra Science Park (PSP) serta sistem sensor pemantauan kualiti air bagi peternakan ikan Siakap oleh Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik (I-AQUAS), UPM.

Inovasi pertanian ini selari dengan saranan perdana Menteri yang menggesa penguasaan teknologi AI dan pendigitalan dalam semua bidang termasuk dalam bidang pertanian serta keterjaminan makanan.

Katanya, program pengajian yang ditawarkan UPM menampilkan peranan UPM dalam agenda pertanian negara dan terutamanya ke arah agenda sekuriti makanan dan keterjaminan makanan.

Tambah beliau, universiti menawarkan pelbagai program pengajian yang sebenarnya boleh dikaitkan dengan keterjaminan makanan sejajar dengan hasrat negara untuk memperkukuhkan bekalan makanan negara.

“Kita ingin memposisikan UPM sebagai peneraju dan pemain utama dalam membantu isu pertanian negara dan kita mahu pelajar untuk mengikuti program pengajian kita agar dapat membantu mengatasi isu negara masa kini,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dan Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (UPU) atas kerjasama dan sokongan yang sangat berharga dalam menganjurkan acara ini.

“Komitmen pihak UPU dalam menyediakan peluang kepada generasi muda untuk melengkapkan pendidikan tinggi adalah sangat penting dalam menjayakan gagasan Malaysia Madani,” tambah beliau.

Sementara itu, seorang pengunjung, Choong Wee Soon, 19, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Klang berkata, program itu memberi pendedahan mengenai pelbagai pilihan program pengajian untuk membantu beliau melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.

“Saya berharap pihak KPT akan meneruskan penganjuran program ini kerana ia memberi manfaat dan secara langsung mendorong pelajar sekolah untuk memilih program pengajian yang bersesuaian,” katanya. – MalaysiaGazette