Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dalam program Bicara Tokoh Siri 13.0 Keterlibatan Belia Dalam Politik Negara: Memperkasakan Kepimpinan Pewaris Bangsa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Seremban, Negeri Sembilan, hari ini.

KUALA LUMPUR – Ilmu pengetahuan berkaitan politik negara dengan kerangka yang lebih luas dan mendalam perlu didedahkan kepada generasi muda seawal umur 18 tahun.

Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, ia amat penting bagi menjadikan mereka lebih matang dan mampu membuat keputusan yang bijak terutamanya ketika pilihan raya.

Jelasnya, kematangan juga boleh mengelakkan mereka daripada terkongkong membuat keputusan berdasarkan emosi atau kumpulan masing-masing.

“Kita mahu mereka membuat keputusan penting seperti memilih pemimpin dalam pilihan raya berdasarkan pengetahuan dalam ilmu politik.

“Tanpa ilmu politik mereka boleh terjebak membuat keputusan salah dan merugikan negara pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Bicara Tokoh Siri 13.0 Keterlibatan Belia Dalam Politik Negara: Memperkasakan Kepimpinan Pewaris Bangsa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Seremban, Negeri Sembilan, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital negeri, Datuk Mohd. Faizal Ramli dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Prof. Dr. Mohd. Sazili Shahibi.

Dalam pada itu, Jalaluddin mengingatkan golongan muda termasuk mahasiswa supaya menimba ilmu pengetahuan berkaitan politik kerana mereka adalah generasi yang akan mewarisi negara.

Jelasnya, para mahasiswa kini menjadi harapan kepada generasi akan datang meneruskan kesinambungan pentadbiran negara pada masa depan.

“Pengetahuan luas mereka dalam politik amat penting bagi mewujudkan budaya pengurusan negara melalui landskap politik.

“Kita perlu mengambil tahu mengenai politik negara supaya tidak mudah diperdaya dengan amalan politik yang boleh membawa negara kepada kemunduran,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast