ISKANDAR PUTERI – Dakwaan bahawa Forest City telah diberi kelulusan untuk pembangunan kasino bukan sahaja fitnah liar, sebaliknya berita itu mahu memberi pandangan buruk kepada negeri Johor.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, fitnah itu juga mahu menggagalkan pembangunan Forest City yang akan dijadikan Zon Kewangan Khas (SFZ) oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Saya tegaskan sekali lagi berita berkenaan tak ubah umpama bau busuk tidak berbangkai atau rantai besi dimakan bubuk.
“Ia juga fitnah yang tidak masuk akal, melainkan hanya berunsurkan niat jahat untuk mencemarkan imej Forest City.
“Selain itu, ia juga mengulangi persepsi negatif untuk gagalkan Forest City yang dilakukan pihak tertentu seperti 2018 dengan pelbagai hasutan dan fitnah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan pada Persidangan Ketiga DUN Johor ke-15, di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.
Terdahulu, Liow Cai Tung (DAP-Johor Jaya) bertanya kesahihan mengenai laporan berita beberapa media antarabangsa mengenai sama ada kerajaan negeri memberi kelulusan untuk pembangunan pusat kasino di Forest City.
Berita itu tercetus selepas Bloomberg yang memetik sumber melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu dengan dua hartawan terkemuka minggu lalu bagi membincangkan rancangan membuka kasino di Forest City.
Laporan itu mendakwa Anwar, pegawai kanan kerajaan dan ahli perniagaan mengadakan makan tengah hari dan mesyuarat mengenai kemungkinan memberikan lesen kasino kedua Malaysia.
Menurut laporan itu, turut berada pada mesyuarat itu ialah Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan dan bekas Pengerusi serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Genting Hong Kong Ltd, Tan Sri Lim Kok Thay.
Namun, Anwar menafikan kerajaan akan meluluskan sebuah lagi kasino berlesen di Forest City, Johor.
Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Machap turut menasihatkan segelintir pihak yang suka menabur fitnah supaya insaf dan membuat perkara lebih bermanfaat.
“Pada mereka (pemfitnah) suka saya nasihatkan cukup-cukuplah.
“Insya-Allah dengan sokongan padu kerajaan Persekutuan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekarang adalah masa terbaik untuk kita kembali membangunkan Forest City.
Laporan berita itu kini dalam siasatan polis, setakat ini seorang wartawan Bloomberg hari ini berhubung laporan berita mengenai rancangan untuk membina sebuah kasino di Forest City, Johor.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kes itu disiasat oleh unit siasatan jenayah terkelas Bukit Aman kerana hasutan, fitnah jenayah dan penyalahgunaan kemudahan rangkaian.
Siasatan itu dimulakan selepas laporan polis dibuat oleh peguam pengasas Berjaya Group Vincent Tan berhubung artikel, “Malaysia Mulls Casino at Forest City: Bloomberg”. MalaysiaGazette