KAPIT, SARAWAK – Seramai 658 penduduk Rumah Panjang Nanga Engkuah di Ulu Katibas, Song di sini, bakal menikmati penambahbaikan infrastruktur membabitkan kos berjumlah RM2.5 juta susulan dipilih sebagai Kampung Angkat Madani bagi Kementerian Kerja Raya (KKR)
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penambahbaikan infrastruktur fizikal itu meliputi pembinaan jambatan yang merupakan satu-satunya laluan penghubung antara tiga Rumah Panjang serta pemasangan lampu jalan berasaskan tenaga solar.
Tiga buah Rumah Panjang itu adalah Rumah Assan, Rumah Radiah dan Rumah Albert Lajong.
Jelas beliau, pelaksanaan projek itu akan membawa manfaat kepada penduduk kampung untuk berhubung dengan selesa dan selamat kerana keadaan jambatan sedia ada yang telah uzur dan membahayakan.
“Selain itu, pemasangan lampu jalan solar amat diperlukan penduduk kampung demi keselamatan diri, harta benda, haiwan peliharaan serta kemudahan penduduk berhubungan dan melakukan aktiviti bermasyarakat pada waktu malam.
“Kita percaya melalui usaha bersepadu KKR dan kerjasama antara agensi kerajaan serta pihak berkepentingan tempatan, cadangan projek fizikal di bawah program Kampung Angkat Madani ini akan dapat memartabatkan Perkampungan Rumah Panjang Nanga Engkuah ke arah pembangunan yang lebih mampan dan holistik.
“Malah, penambahbaikan ini juga membolehkan mereka mengikut arus pembangunan negara walaupun berada di pedalaman selain kampung ini juga bakal dijadikan model untuk pembangunan kampung lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kampung Angkat Madani Perkampungan Rumah Panjang Nanga Engkuah di sini.
Mengulas lanjut Nanta Linggi berkata, proses penambahbaikan infrastruktur itu dijangka mengambil masa setahun dan pihaknya percaya ia akan memberi impak positif kepada kehidupan seharian penduduk di sini.
“Selain daripada program Kampung Angkat Madani, saya dan Ahli Undangan Negeri Katibas, Lidam Assan turut membantu meningkatkan sosial-ekonomi penduduk sini dengan program samping.
“Terdapat stesen pertanian yang dibina kerajaan negeri di sini dan kita akan manfaatkannya dengan membina kolam ikan untuk komersialkan ikan empurau yang mana akan memberi pendapatan kepada penduduk,” katanya.
Perkampungan Rumah Panjang Nanga Engkuah terletak kira-kira 50 kilometer dari Pekan Song dan ia mengambil masa enam jam untuk penjalan pergi dan pulang.
Pengangkutan sungai iaitu menaiki perahu menjadi satu-satunya akses ke perkampungan tersebut dari Pekan Song.
Majoriti penduduk kampung tersebut terdiri daripada etnik Iban dan ekonomi tempatan mereka adalah pekerja di sektor awam, swasta, pertanian, penternakan kecil-kecilan serta perikanan. – MalaysiaGazette