KUALA LUMPUR – Sambutan ulang tahun hari kelahiran ahli perniagaan, Deepak Jaikishan pada tahun lalu rosak dengan kenyataan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Menurut Deepak, ia sangat menyakitkan hati ketika beliau hendak memotong kek hari kelahirannya itu.
“Saya ingat, ketika fitnah itu dilemparkan pada tarikh 11 Mac yang juga merupakan hari lahir saya. Ia sangat menyakitkan hati ketika saya hendak memotong kek hari jadi saya pada masa itu.
“Ini adalah perbuatan sungguh zalim kerana Azmin telah berbohong,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebagai saksi plaintif dalam kes saman J&E Advance Tech Sdn Bhd terhadap Azmin kerana mendakwa syarikat itu memperoleh kontrak kerajaan untuk mengimport telur dari India tanpa tender terbuka.
Deepak berkata, kenyataan dalam ucapan satu ceramah politik bersifat jahat yang menjejaskan beliau dan syarikat adik lelaki.
Katanya, sindiran Azmin bahawa J&E Advance Tech mendapat kontrak mengimport telur kerana persahabatannya dengan Datin Seri Rosmah Mansor juga merupakan satu ucapan yang tidak menyenangkan.
“Sebenarnya semua orang tahu bahawa beliau (Rosmah) adalah musuh ketat saya kerana musnah kehidupan dan perniagaan saya.
“Defendan (Azmin) juga telah memfitnah bukan sahaja saya sebaliknya plaintif dalam saman, J&E Advance,” katanya di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Leong Wai Hong.
Dalam pada itu, ketika prosiding, Pengurus Besar syarikat J&E Advance, Rajesh Jaikishan memberitahu, pihaknya telah melalui proses yang betul bagi mendapatkan projek mengimport telur dari India, termasuk saringan kesihatan sebelum ianya dibawa masuk ke Malaysia.
“Tidak ada rundingan terus seperti yang didakwa. Kita telah mohon secara telus melalui Jabatan Veterinar untuk import telur dari India kerana ketika itu kita sedang berdepan dengan isu kekurangan bekalan telur dalam pasaran,” katanya yang merupakan adik kepada Deepak. – MalaysiaGazette