ISKANDAR PUTERI – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, pagi ini tergendala hampir 15 minit berikutan teknikal di dewan utama.
Kejadian itu berlaku ketika Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi selesai menjawab soalan pertama berkaitan isu Forest City sebelum berlaku gangguan elektrik dan teknikal di dewan berkenaan.
Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, melahirkan rasa tidak senang dengan kejadian yang tidak sepatunya berlaku.
Beliau turut berharap kejadian itu tidak akan berulang lagi.
“Insiden ini cukup memalukan hingga sidang dewan yang sedang bersidang terpaksa ditangguhkan.Saya mohon maaf kepada Yang Behormat Menteri Besar atas kejadian ini.
“Saya harap pengurusan dewan sentiasa peka. Saya tidak mahu dengar sebarang alasan. Kita mesti ada mentaliti dan fasiliti kelas pertama. Bukan kelas ke tiga, ” katanya ketika dewan bersambung semula sebentar tadi.
Dalam pada itu, Onn Hafiz juga sempat berseloroh ketika menyambung sesi soalan lisannya dengan menyatakan kejadian itu seolah-olah ada merupakan unsur sabotaj kerana berlaku gangguan elektrik dan teknikal, sejurus beliau selesai menjawab isu panas berkaitan kasino di Forest City.- MalaysiaGazette