Dr Dzulkefly Ahmad

PUTRAJAYA – Pemberian vaksin kombinasi tetanus-difteria-pertussis (Dtap) yang diberikan kepada wanita hamil dijangka bermula hujung tahun ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, vaksin tersebut akan diberikan secara percuma bagi setiap kehamilan yang berusia 27 hingga 32 minggu.

“Ia bagi setiap kehamilan, maksudnya kalau ibu mengandung setiap tahun dia perlu dapatkan vaksin itu setiap tahun ketika kandungannya third trimester,” katanya ketika sidang media selepas merasminan Majlis Sambutan Hari Imunisasi Peringkat Kebangsaan Tahun 2024, di sini, hari ini.

Menurut Dzulkefly, berdasarkan rekod terdapat peningkatan kes batuk kokol dalam kalangan bayi, justeru pelaksanaan tersebut penting semasa semasa bayi berada dalam kandungan.

“Memang ada rekod kadang-kadang kes meningkat dalam kalangan mereka yang dapat vaksin sebab itu perlu untuk kita beri kepada ibu supaya anak sudah ada imunisasi daripada mak,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan mengumumkan pemberian vaksin khusus bagi ibu mengandung bagi melindungi bayi baru lahir daripada jangkitan penyakit Pertussis atau batuk kokol.

Menteri Kesihatan sebelum ini, Dr Zaliha Mustafa berkata, inisiatif tersebut dijangka membabitkan peruntukan sebanyak RM25 juta bagi meliputi anggaran 500,000 ibu hamil, setiap tahun.-MalaysiaGazette