Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu ketika lawatan booth sempena Konvensyen Pengembangan Veterinar dan Hari Inovasi Tahun 2024 di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang. Foto SYADILA AMARI, 14 MEI 2024.

SERDANG – Bekalan daging tempatan untuk pasaran domestik masih lagi di bawah 20 peratus, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Disebabkan itu, negara masih lagi bergantung kepada import yang begitu tinggi terutama dari negara Australia, New Zealand, India dan pelbagai lagi negara lain.

Oleh yang demikian, kerjasama daripada semua pihak yang terlibat dengan sumber berkenaan cukup penting bagi mengelak berlakunya karenah birokrasi.

“Sudah tentulah di pihak veterinar mereka terus tekun dengan kajian-kajian mereka memperkenalkan baka-baka baharu.

“Jadi, ia melibatkan semua pihak bukan hanya veterinar sahaja termasuklah semua kementerian, kerana proses untuk membuat ternakan ini perlu ada tanah yang agak luas dan kerjasama kerajaan negeri dan ini yang perlu dipermudahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pengembangan Veterinar dan hari Inovasi Tahun 2024, di Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, perdana menteri sering mengingatkan mengenai perkara tersebut dan semua pihak termasuk di peringkat Persekutuan dan di negeri harus mengambil maklum mengenai perkara ini.

Terdahulu ketika berucap pada majlis berkenaan Mohamad berkata, pengembangan veterinar adalah satu cabang perkhidmatan yang diberikan oleh DVS untuk membantu golongan sasar bagi mengenal pasti penyelesaian dan kesedaran dalam memperbaiki kelemahan serta bersedia melakukan perubahan selari dengan perkembangan semasa dalam sektor penternakan dan asas tani.

Ia termasuklah pengurusan ladang yang baik, kawalan penyakit serta penggunaan teknologi terkini melalui ejen-ejen pengembangan yang terdapat di setiap DVS negeri dan tujuh buah pusat pengembangan veterinar atau dikenali juga sebagai VETEC.

Ujarnya, pengembangan veterinar itu telah digerakkan sejak 1980-an dan kemudian pasukan petugas pengembangan veterinar telah mengeluarkan manual pengembangan veterinar yang pertama pada 1993.

Tambah beliau, ia telah ditambah baik pada tahun 2001 di atas keberkesanan program untuk mentransformasi sektor ternakan.

Katanya, prestasi dan pengukuhan industri ternakan negara bergantung kepada kualiti perkhidmatan yang diberikan oleh DVS.

“DVS perlu sentiasa memantau dan sentiasa terbuka dengan sebarang cadangan dan inisiatif yang dicadangkan oleh golongan sasar dalam untuk mempertingkatkan hasil pengeluaran ternakan.

“Saya sarankan agar DVS untuk lebih proaktif dan sentiasake hadapan untuk membantu golongan sasar kerana ia akan memberi kesan langsung kepada jumlah SSL (kadar tahap sara diri) ternakan negara yang saban tahun makin menurun dalam keadaan ekonomi dunia dan cabaran perubahan iklim mutakhir ini,” katanya. – MalaysiaGazette