Pengarah Kastam Diraja Malaysia Perak, Datuk Abdul Ghafar Mohamad menunjukkan rampasan daging anak babi sejuk beku seberat 23,121 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM1,040,472 yang cuba diseludup ke negara ini dalam serbuan di Pelabuhan Klang, Selangor pada 7 Mei lalu pada sidang media di Kompleks Penguatkuasaan dan Pematuhan Kastam Diraja Malaysia Perak, Meru. Foto ABDULLAH YUSOF, 14 MAY 2024.

IPOH – Tindakan sebuah syarikat pengimport menyeludup masuk daging anak babi sejuk beku dengan berselindung di sebalik label sayur-sayuran sejuk beku berjaya dibongkarkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak.

Pengarah JKDM Perak, Datuk Abdul Ghafar Mohamad berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Penguatkuasaan JKDM Stesen Ipoh berjaya merampas 9,634 bungkus daging anak khinzir sejuk beku seberat lebih 23 tan dianggarkan bernilai RM1,040,472 yang cuba diseludup ke negara ini melalui sebuah kontena Pelabuhan Klang, Selangor pada 7 Mei lalu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas kontena dalam serbuan sekitar jam 12 tengah hari itu mendapati pada asalnya ia diikrarkan sebagai sayur-sayuran sejuk beku.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak merampas daging anak babi sejuk beku seberat 23,121 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM1,040,472 yang cuba diseludup ke negara ini dalam serbuan di Pelabuhan Klang, Selangor pada 7 Mei lalu pada sidang media di Kompleks Penguatkuasaan dan Pematuhan Kastam Diraja Malaysia Perak, Meru. Foto ABDULLAH YUSOF, 14 MAY 2024.

“Bagaimanapun, selepas pemeriksaan lanjut dilakukan kita menemui 9,634 bungkus anak babi sejuk beku seberat 23,121 kilogram (kg) tidak sama seperti diikrarkan dalam Borang Kastam 1.

“Selain itu, kesemua kotak yang mengandungi daging tersebut tidak memiliki pelekat sah daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) serta tidak mempunyai permit sah daripada Maqis dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk mengimport daging tersebut ke Malaysia.

“Kontena yang mengandungi daging tersebut dipercayai telah diimport masuk dari negara Vietnam untuk dijual di pasaran tempatan.

Daging anak babi sejuk beku bernilai lebih RM1 juta dirampas
Abdul Ghafar Mohamad menunjukkan rampasan daging anak babi sejuk beku seberat 23,121 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM1,040,472 yang cuba diseludup ke negara ini dalam serbuan di Pelabuhan Klang, Selangor pada 7 Mei lalu pada sidang media di Kompleks Penguatkuasaan dan Pematuhan Kastam Diraja Malaysia Perak, Meru. Foto ABDULLAH YUSOF, 14 MAY 2024.

“Pengimportan komoditi sejuk beku tertakluk pada Butiran 1 (1) Jadual Ketiga Bahagian 1 Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 yang memerlukan permit import dengan kelulusan Ketua Pengarah Maqis dan JPV,” katanya pada sidang media di Pejabat Kastam Ipoh, di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Ghafar berkata, seorang lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 40-an dipercayai ejen kepada pengimport turut dipanggil bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan.

“Sehubungan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 133 Akta Kastam 1967 iaitu membuat pengikraran yang salah dan memalsukan dokumen.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya,” jelasnya. – MG Perak