ISKANDAR PUTERI – Jabatan Kerja Raya (JKR) diminta memeriksa sistem audio di dalam Dewan Utama Dewan Undangan Negeri (DUN) ekoran gangguan teknikal yang berlaku semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, JKR juga perlu mencadangkan penambahbaikan yang harus dilakukan selepas siasatan lengkap dijalankan.
Menurut beliau, perkara itu akan dibuat ketika Sidang DUN Johor ditangguhkan ke minggu depan.
“Semalam gangguan yang berlaku adalah melibatkan sistem audio, bukan melibatkan bekalan elektrik. Selepas gangguan itu kita telah reset semula sistem berkenaan dan ia berfungsi seperti biasa.
“Antara faktor yang dikenalpasti adalah ia merupakan peralatan lama yang sudah digunakan sejak tahun 2016. Kita akan lihat jika terdapat keperluan mengganti sebahagian peralatan atau menggantikan terus sistem audio dewan DUN Johor,” katanya.
Menyatakan perkara itu ketika dikinta mengulas mengenai kejadian gangguan audio di Sidang DUN Johor, hari ini.
Tambahnya, faktor yang perlu diambil kira termasuklah kekerapan penggunaan sistem dan peralatan berkenaan kerana DUN Johor bersidang hanya empat kali setahun.
Semalam, berlaku gangguan pada sistem audio ketika Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi sedang berucap menjawab soalan diajukan terhadap beliau berhubung isu kasino di Forest City.
Sehubungan itu, Speaker DUN Johor, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi turut menegur insiden berkenaan dan menganggapnya sebagai satu insiden yang memalukan dan tidak sepatutnya berlaku.
“Kejadian ini memalukan hingga sidang DUN Johor terpaksa ditangguhkan sementara. Saya berharap bahagian pengurusan dewan akan lebih peka tentang perkara ini.
“Penangguhan sementara akibat isu teknikal adalah memalukan, Saya tidak mahu dengar alasan sebab kita mesti tolak budaya alasan, kita mesti ada mentaliti kelas pertama, jadi saya tidak mahu ia berulang,” katanya.– MalaysiaGazette