BARU-baru ini tular di media sosial mengenai isu pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di kawasan Nilai yang menggunakan ‘prebet sapu’ sebagai platform untuk mencari duit tambahan malahan ada juga pelajar yang menggunakan perkhidmatan tersebut untuk ke kelas dan sebagainya.
Merujuk kepada artikel “Penuntut IPT dikesan hidupkan semula khidmat prebet sapu, (Buletin TV3, 13 Mei), perkhidmatan prebet sapu ini melanggar Seksyen 23(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana salah guna cukai jalan, yang mana sesiapa yang menawarkan perkhidmatan prebet sapu ini boleh dikenakan denda kerana melanggar akta tersebut.
Sebagai seorang pelajar IPT sendiri, saya sememangnya tidak bersetuju sekiranya perkhidmatan prebet sapu ini diberhentikan dan tidak boleh digunakan oleh pelajar IPT. Harga yang ditawarkan oleh prebet sapu jauh lebih murah berbanding Teksi, Grab dan Maxim. Sekiranya perkhidmatan prebet sapu ini tidak lagi digunapakai oleh para pelajar, kami tidak mampu untuk menghabiskan sekitar RM30 hanya untuk satu hari ke kelas sahaja. Bagaimana pula sekiranya kami hendak keluar membeli makanan?
Adakah wajar sekiranya seorang pelajar IPT menghabiskan wang RM30 dalam sehari hanya untuk ke kelas sahaja? Ini yang seharusnya di fikirkan oleh sesetengah pihak. Berkenaan isu mahal dan sebagainya, sudah jelas lagi terbukti bahawa Grab atau teksi menawarkan harga yang lebih mahal. Jikalau tidak, sudah pasti semua penuntut IPT menggunakan perkhidmatan tersebut.
Bukan itu sahaja, malahan kebiasaannya pelajar IPT akan memulakan kelas sekitar jam 7 pagi dan perlu menghadirkan diri awal sebelum kelas bermula. Perkhidmatan Grab dan Teksi pada awal pagi sangat mahal dan susah untuk dijumpai. Alasannya, kerana waktu tersebut ‘waktu panas’ yang mana banyak kereta di atas jalan raya kerana pada awal pagi tersebut kebiasaanya orang baru hendak mula keluar untuk pergi bekerja.
Sebagai seorang mahasiswa IPT, kami sangat memerlukan perkhidmatan prebet sapu ini untuk memudahkan urusan seharian kami. Bas di sekitar IPT bukanlah ada setiap masa, jadi kami perlukan alternatif lain selain berjalan kaki lebih-lebih lagi dengan cuaca yang terlalu panas dan hujan secara tiba-tiba.
Sungguhpun perkhidmatan prebet sapu ini menyalahi undang-undang, kerajaan perlu memikirkan dari sudut yang berbeza. Jikalau perkhidmatan ini mendapat kebenaran, kenakan saja denda kepada mereka yang tidak ada lesen tetapi membawa kenderaan atau yang melakukan kesalahan jalan raya yang lain. Janganlah aniayai kami sebagai pelajar, kami sememangnya tidak mempunyai wang yang begitu banyak untuk menampung perbelanjaan sehari-hari.
Akhir kalam, pelajar IPT tidak kira dimana sahaja bukanlah orang yang bekerja yang memegang wang setiap hujung bulan atau kita kata tidak mempunyai gaji yang tetap setiap bulan. Kami perlu memikirkan pengangkutan, perkhidmatan dobi, pembayaran kolej setiap bulan dan sebagainya. Kami berharap ada sesetengah pihak yang berempati dan masih memikirkan kehidupan sebagai seorang pelajar IPT.
Penuntut Universiti Sains Islam Malaysia
akta perlu dipinda kerana menyusahkan bila nak maju begitu juga dengan kenderaan blajar memandu tidak boleh diguna untuk peribadi padahal cukai insuran dibayar