KUALA LUMPUR – Negara dijangka menerima hujan pada paras purata di kebanyakan tempat dan sedikit atas purata bagi Sarawak dan barat Sabah dalam tempoh Monsun Barat Daya, bermula Mei sehingga September 2024.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara tersebut dimaklumkan oleh Jabatan Meteorologi (MeT Malaysia) kepadanya dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat Bilangan 1 bagi tahun 2024 yang berlangsung hari ini.

Jelasnya, Monsun Barat Daya dijangka membawa cuaca yang lebih kering dan kebanyakan negeri akan mengalami lebih banyak bilangan hari tanpa hujan.

“Ini akan menyebabkan pelbagai impak negatif meliputi kesan kesihatan, kekurangan bekalan air, kebakaran hutan/belukar, jerebu, dan sekiranya berpanjangan, kekurangan hasil pertanian,” katanya menerusi kenyataan.

Menurutnya, dalam masa yang sama MeT Malaysia juga meramalkan peralihan kepada El Niño and the Southern Oscillation (ENSO) neutral berlaku pada pertengahan tahun ini.

Manakala, La Nina pula dijangka mula terbentuk pada suku ketiga 2024.

“Buat masa ini negara sedang berada di fasa peralihan monsun yang dijangka sehingga Mei 2024 manakala kedaan cuaca panas terutama di utara Semenanjung telah mula reda,” katanya.

Mengulas lanjut Zahid berkata, Sistem Pangkalan Data Hidrogeologi myGEMS milik Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) menyediakan sumber air bawah tanah yang boleh digunakan sebagai alternatif termasuk untuk pemadaman kebakaran di kawasan tanah gambut.

Katanya, terdapat 640 buah telaga aktif untuk kegunaan domestik dan 104 buah telaga di kawasan gambut dan hutan dengan kapasiti 176.13 juta liter sehari (MLD).

Sementara itu, Zahid meminta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri (JPBN) supaya mengambil langkah sewajarnya dengan meminta pengendali air meningkatkan kecekapan operasi mereka serta menyediakan sokongan logistik untuk memobilisasi bekalan air ke kawasan terjejas.

Tambahnya, bagi operasi untuk memadam sebarang kebakaran, agensi-agensi tindak balas pula berada pada tahap siapsiaga dengan persediaan logistik sewajarnya untuk menghadapi kebakaran terbuka.

“Saya juga mengingatkan semua agensi yang telibat sentiasa mengambil langkah aktif dalam mengurangkan risiko bencana.

“Ia boleh dilaksanakan melalui tadbir urus yang cekap berlandaskan pengurangan risiko bencana dalam perancangan pembangunan, guna tanah, pengurusan air dan penyelenggaraan yang tertakluk di bawah kuasa negeri perlu diberikan penekanan bagi mengelakkan bencana dari terus berlaku dan memastikan pembangunan mampan untuk kesejahteraan rakyat khususnya generasi akan datang,” katanya.

Dalam pada itu beliau memaklumkan Jabatan Alam Sekitar merekodkan 2,030 kes pembakaran terbuka disiasat dengan sembilan daripadanya telah dibawa ke mahkamah.

“Sebanyak 630 dirujuk ke agensi lain, sementara 100 kompaun berjumlah RM200,000 telah dikeluarkan bagi tempoh 1 Januari  hingga 30 April 2024,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast