ISKANDAR PUTERI – Peratusan enrolmen murid tingkatan empat yang menyertai aliran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) di Johor meningkat sehingga 50.24 peratus setakat Mac lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, peningkatan itu mula menunjukkan progresifnya pada tahun lepas iaitu 45.73 peratus berbanding 40.94 peratus pada tahun 2022. 

Pencapaian  itu menunjukkan pendidikan STEM yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan kerajaan negeri telah menunjukkan hasil yang positif dan menggalakkan. 

“Insya-Allah STEM di Johor akan terus meningkat sebanyak 60 peratus pada tahun 2028,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang ketika persidangan ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke 15 hari ini.

Katanya, Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan KPM akan terus meningkatkan keberkesanan program pendidikan STEM sebagai usaha menyediakan bakat STEM yang mencukupi ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi.

Ini selaras dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030, Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030). 

“Dalam memperkasakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) STEM di dalam kelas. KPM dengan kerjasama Yayasan Petronas (YP) melalui Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP), KPM telah mewujudkan satu program di peringkat kebangsaan, iaitu Program Duta Guru (PDG),”katanya.

Katanya sehingga kini negeri Johor mempunyai seramai 142 orang Duta Guru dan Peserta Duta Guru.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 49 orang guru dari Kohort satu, dua dan tiga telah dianugerahkan sebagai Duta Guru. Manakala, seramai 39 orang PDG Kohort empat dan 54 orang PDG Kohort lima masih dalam sesi latihan. 

“Selain itu, pelibatan murid dalam kokurikulum STEM turut diberi perhatian. Pada tahun 2023, lebih 16,000 murid telah terlibat dalam pertandingan yang diadakan di bawah seliaan KPM merangkumi peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Dalam masa yang sama, pasukan Johor juga menjadi johan pertandingan peringkat kebangsaan anjuran KPM dalam Karnival STEM Peringkat Kebangsaan, naib johan keseluruhan Pertandingan Robotik Kebangsaan dan johan Keseluruhan Pertandingan Inovasi Sains, Teknologi dan Kejuruteraan (PISTEK).- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast