Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Rusdi Mohd Isa menyampaikan sijil perghargaan ketika Perhimpunan Bulanan Kontinjen Polis Kuala Lumpur di ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 15 MEI 2024.

KUALA LUMPUR – Tiga lelaki warga asing yang ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan lelaki Israel, Avitan Shalom telah dihantar pulang ke negara asal mereka.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, tindakan tersebut dilakukan oleh pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melalui proses pemindahan imigran larangan daripada Malaysia.

“Ketiga-tiga lelaki itu dipindahkan keluar dari negara ini dan pulang negara asal mereka iaitu di Amerika Syarikat, Turkiye dan Georgia yang bermula sejak kelmarin hingga semalam.

“Siasatan ke atas ketiga-tiga lelaki ini, telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dan keputusan telah pun dibuat iaitu usir mereka,” katanya pada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Berhubung tujuh lelaki tempatan yang dibebaskan, Rusdi menegaskan kesemua mereka boleh ditahan semula sekiranya terdapat bukti baharu berkaitan kes tersebut.

“Kena faham bebas dengan jaminan, kalau ada perkembangan, saksi, keterangan baharu, kertas siasatan boleh dibuka pada bila-bila masa. Jangan ingat kalau dibebaskan itu akan dilepas begitu sahaja,” ujarnya.

Pada 19 April lalu, 10 individu termasuk tiga warga asing disyaki mempunyai kaitan dengan Avitan ditahan semula bagi disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Daripada jumlah itu, tiga terdiri suspek utama iaitu Avitan dan pasangan suami isteri telah dituduh di mahkamah manakala lima lagi dibebaskan.

Sepuluh daripada 18 individu itu sebelum ini telah direman bagi siasatan lanjut di bawah akta senjata api, namun kini ditahan semula di bawah Sosma.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 130v (1) Kanun Keseksaan kerana menganggotai kumpulan jenayah terancang. – MalaysiaGazette