Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz

KUALA LUMPUR – Jumlah majikan yang tidak berdaftar dan mencarumkan pekerja dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada tahun lalu meningkat kira-kira 2.8 peratus.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif pertubuhan berkenaan,  Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz berdasarkan Ops Kesan tahun lalu tahap ketidakpatuhan majikan adalah 21.73 peratus berbanding 18.95 peratus pada tahun sebelumnya.

Jelas beliau, kebanyakan ketidakpatuhan ini membabitkan majikan berskala kecil dan baharu memulakan perniagaan selepas pandemik.

“Mungkin agak tinggi pada 2022  kerana Covid-19 berakhir dan majikan baru bermula mungkin ada kekangan, ada yang mungkin tidak faham,” katanya ketika sidang media.

Sehubungan itu beliau berharap jumlah majikan yang tidak berdaftar dan mencarum dengan Perkeso semakin berkurang pada tahun ini.

Menurutnya lagi, hasil dapatan Perkeso menunjukkan majikan dalam kategori pemilikan tunggal mencatat jumlah tertinggi bagi kesalahan lewat mendaftar dan mencarum, selain kurangnya pengetahuan serta kesedaran mengenai kewajipan mencarum dalam kalangan majikan.

Katanya, sehingga 31 Mac 2024, hampir 1.55 juta majikan telah berdaftar dengan Perkeso di bawah Akta 4 namun jumlah yang aktif mencarum sekurang-kurangnya satu caruman dalam tempoh 12 bulan adalah 600,819 majikan.

Manakala jumlah pekerja aktif pula seramai 9.70 juta orang.

“Ssaban tahun apabila Ops Kesan dilaksanakan kita lihat kadar ketidakpatuhan dalam kalangan majikan masih meruncing, sekali gus mengabaikan hak asasi pekerja untuk mendapat perlindungan keselamatan sosial,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast