PONTIAN – Seorang wanita warga emas dan tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memiliki dan mengedar dadah awal bulan ini.

Pertuduhan terhadap Chan Ah Moi, 75, Chan Chui Lai, 59, Tan Chee Seong, 50, dan Lim Huang Kin, 40, dibacakan di hadapan Majistret Nur Azzuin Abdul Moati.

Bagi tiga pertuduhan, Ah Moi, Chui Lai, Chee Seong dan Huang Kin didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 23,572.74 gram, MDMA seberat 532.59 gram dan 362.02 gram kanabis di sebuah rumah di Kukup Laut, dekat sini, pada 1.30 pagi 4 Mei lepas.

Chui Lai yang juga adik kepada Ah Moi menghadapi satu lagi pertuduhan mengedar dadah jenis MDMA seberat 1,638.81 gram di tempat dan waktu sama.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952  (ADB) yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan, jika tidak dijatuhkan hukuman mati.

Sementara itu, semua tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki 232.6 gram ketamin mengikut Seksyen 12(2) ADB yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta serupa yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Chui Lai turut mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan memiliki dadah jenis Nimetazepam seberat 275 gram mengikut Seksyen 12(2).

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan memiliki dadah itu di tempat dan waktu sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurezzati Zaini manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan ditawarkan dan mahkamah menetapkan 21 Julai ini untuk sebutan semula kes. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast